Kematian bukan hanya tentang jenazah, tetapi mereka yang kita tinggalkan | The Reporter

Kematian bukan hanya tentang jenazah, tetapi mereka yang kita tinggalkan

Seorang ibu bersama dua anak duduk selepas menerima kunjungan orang ramai susulan kematian ahli keluarga.
Kehadiran orang sekeliling selepas kematian bukan sekadar untuk jenazah, tetapi turut memberi sokongan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Satu hantaran di media sosial baru-baru ini menarik perhatian apabila seorang wanita berkongsi pendiriannya tentang kematian. Katanya, jika tiba ajalnya suatu hari nanti, dia tidak mahu perkara itu segera dimaklumkan kepada ramai orang. Cukuplah selepas selesai pengebumian, barulah orang lain diberitahu.

Mungkin pada pandangannya, itu lebih mudah. Tidak mahu menyusahkan sesiapa, tidak mahu orang datang dari jauh dan tidak mahu terlalu ramai memenuhi rumah ketika keluarga sedang bersedih. Malah dalam dunia hari ini, ada yang mungkin melihat kematian sebagai urusan peribadi keluarga yang tidak perlu diperbesarkan.

Namun satu respons kepada hantaran itu membawa sudut pandang yang berbeza. Katanya, hidup berjemaah dan menjaga silaturahim tetap penting kerana masih banyak “tugasan” walaupun selepas seseorang meninggal dunia. Orang yang datang menziarah bukan sekadar datang melihat jenazah, tetapi membawa doa dan pertolongan.

Di situlah sebenarnya perkara yang sering kita terlepas pandang.

Apabila seseorang meninggal dunia, orang yang paling memerlukan bantuan bukan lagi si mati. Mereka yang memerlukannya ialah pasangan, anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang ditinggalkan. Dalam keadaan fikiran bercelaru, kadangkala perkara sekecil menyediakan makanan, menjaga anak, menghantar saudara ke hospital atau membantu menguruskan pengebumian sudah cukup besar nilainya.

Sebab itu apabila kita melihat orang memenuhi rumah keluarga yang baru kehilangan insan tersayang, jangan anggap semuanya datang sekadar untuk “tengok jenazah”. Ada yang datang membawa makanan. Ada yang menguruskan kerusi dan khemah. Ada yang membantu menghubungi saudara-mara. Ada yang duduk diam menemani kerana tahu orang yang sedang berduka kadangkala tidak perlukan nasihat, cuma perlukan seseorang di sebelahnya.

Sudah tentu setiap orang berhak menentukan bagaimana mereka mahu urusan kematian mereka dikendalikan. Ada yang mahukan semuanya ringkas dan tertutup. Ada pula yang selesa jika saudara-mara serta sahabat hadir beramai-ramai. Tiada siapa patut dihukum hanya kerana memilih cara yang berbeza.

Tetapi mungkin perbincangan ini membawa satu peringatan yang lebih besar. Hubungan dengan manusia bukan sekadar untuk meraikan hari bahagia. Nilainya paling terasa apabila hidup tiba-tiba menjadi berat.
Hari ini kita mungkin berasakan tidak mahu menyusahkan sesiapa apabila kita mati. Namun ketika kita sudah tiada nanti, kita juga tidak akan tahu bagaimana keadaan orang yang kita tinggalkan.

Jadi mungkin persoalannya bukan berapa ramai orang yang kita mahu datang ketika kita meninggal dunia. Persoalannya, apabila kita sudah tiada, adakah keluarga kita masih mempunyai orang yang akan datang untuk mereka?