Pempengaruh, Aisyah Hijanah Azhari tampil memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan penulisan ayat al-Quran dalam sebuah buku terbitannya yang mencetuskan kebimbangan ramai.
Menerusi satu kenyataan, beliau mengakui kesilapan itu merupakan tanggungjawabnya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku berkenaan, walaupun naskhah tersebut dihasilkan bersama seorang penulis bersama (ghostwriter).
Menurutnya, beliau sepatutnya memastikan setiap kandungan, khususnya yang melibatkan ayat-ayat al-Quran, disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan dan tidak akan meletakkan kesalahan terhadap mana-mana pihak.
Aisyah berkata, sebagai figura yang sering berkongsi ilmu berkaitan agama, beliau menyedari tanggungjawab besar yang dipikul kerana setiap perkongsiannya menjadi rujukan kepada masyarakat, terutama golongan wanita.

Baca juga:
- Aisyah Hijanah mohon maaf, hentikan jualan buku susulan kesilapan petikan ayat al-Quran
- Marissa Dania, Aslam disahkan bukan lagi suami isteri
- ‘Lagu AI cuma untuk pemasaran’ – Azlan The Proton Type respon isu hangat
Katanya, niat asal penerbitan buku itu adalah untuk berkongsi ilmu serta membantu wanita lebih mendekatkan diri kepada Allah, namun mengakui niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan ketelitian dalam penyampaian ilmu.
Susulan insiden itu, beliau memaklumkan beberapa tindakan segera telah diambil, termasuk menghentikan sementara penjualan semua buku di bawah syarikat penerbitannya, menarik balik buku terbabit daripada semua kedai buku serta platform jualan dalam talian dan luar talian, selain menjalankan semakan semula secara menyeluruh terhadap kandungannya.
Beliau turut memaklumkan bahawa versi digital yang telah diperbetulkan akan disediakan kepada pembaca yang ingin mendapatkan naskhah yang dikemas kini.
Menurut Aisyah, kejadian itu dianggap sebagai satu teguran untuk dirinya supaya lebih teliti dan bertanggungjawab dalam menyampaikan mesej agama, selain menjadi pengajaran bahawa amanah menyampaikan ilmu menuntut ketepatan dalam setiap kandungan yang dikongsikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menegur kesilapan tersebut secara membina dan berjanji akan memperketatkan proses semakan terhadap semua penerbitan pada masa hadapan.
“Insya-Allah saya akan terus memperbaiki diri, memperkemaskan proses semakan dan tidak akan berhenti berusaha memberi manfaat kepada masyarakat dengan cara yang lebih bertanggungjawab,” katanya.









