Pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim, 21, dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid secara rasmi tidak lagi bergelar suami isteri selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur membuat keputusan berkaitan prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk, hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan mahkamah telah memutuskan berhubung jatuhnya talak, dan secara ringkasnya kedua-dua individu kini bukan lagi pasangan suami isteri.
“Secara ringkasnya, mereka sudah tidak lagi mempunyai hubungan sebagai suami isteri. Jika ingin bersama semula, perlu kepada akad nikah yang baharu,” katanya.
Menurutnya, tiada sesi bersalaman atau permohonan maaf berlaku di dalam kamar mahkamah, namun kedua-dua pihak difahamkan reda dengan keputusan yang dibuat.
“Saya sudah menasihatkan mereka supaya bersedia menerima apa juga keputusan mahkamah. Mereka menghormati proses dan kembali kepada hukum syarak serta undang-undang,” katanya.
Baca juga:
- Rosmah Mansor saman Harith Iskander, dakwa dihina dalam persembahan komedi
- Anak bongsu penyanyi Izam EYE maut dalam kemalangan jalan raya
- Pelakon Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ambil dadah
Sebelum ini, pihak peguam memaklumkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk difailkan pada 10 Mac lalu, selepas dakwaan Aslam pernah melafazkan cerai sebanyak dua kali sebelum mereka kembali rujuk.
Lafaz pertama didakwa berlaku pada September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan yang sama, manakala lafaz kedua pula berlaku pada April tahun lalu sebelum mereka kembali bersama dua bulan kemudian.








