Bapa kepada individu dikenali sebagai Aliff Daniel yang sebelum ini menjadi perhatian susulan kontroversi ritual keagamaan didakwa kini menjalani kehidupan bersendirian selepas berdepan konflik keluarga sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu dikongsikan seorang lelaki dikenali sebagai Tuan Amir Danau menerusi media sosial selepas menghubungi bapa Aliff Daniel yang merupakan sahabat lamanya bagi bertanyakan khabar susulan isu berkenaan.
Menurut Amir, lelaki yang mesra dipanggil Abang Hadie itu mendakwa sudah beberapa kali menegur anaknya berhubung penglibatan dalam aktiviti mistik dan ritual yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.
Malah, lelaki berkenaan mendakwa pernah membuang pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan, namun tindakannya itu menyebabkan berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarga.
“Abang pesan ke dia, jangan sampai menyekutukan Allah. Berapa kali, Mir. Abang pecahkan semua barang-barang dalam bilik dia tu, abang buang semuanya,” katanya seperti dikongsikan Amir.
Menurut perkongsian itu, konflik berpanjangan berkenaan didakwa menjadi antara faktor keretakan rumah tangganya sehingga membawa kepada perceraian pada tahun ini.
Susulan perpisahan tersebut, lelaki itu mendakwa mengambil keputusan tinggal di sebuah bilik sewa dan banyak menghabiskan masa di masjid, selain menyerahkan kediamannya kepada anaknya dengan harapan berlaku perubahan.
“Abang dah bercerai dengan akak dah tahun ni. Isu Daniel yang viral dekat Batu Caves tu kes lama, Mir. Enam hingga tujuh tahun lepas, tak silap,” katanya.
Dalam pada itu, bapa berkenaan turut mendakwa sudah memberikan penjelasan kepada pihak berkuasa agama yang menemuinya berhubung kontroversi tersebut, selain menegaskan dirinya tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti yang diperkatakan.
Amir berkata, dia tersentuh mendengar luahan sahabatnya yang disifatkan sebagai seorang lelaki lemah lembut dan sentiasa berusaha mendidik anak-anak.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan Aliff Daniel bersama ibunya ditahan di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu bagi membantu siasatan yang dijalankan pihak berkuasa agama.








