Di sebalik pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan keadaan jerebu, seorang pendidik mengambil inisiatif turun sendiri ke rumah murid bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada mengikuti pembelajaran.
Pendidik yang dikenali sebagai Cikgu Alif Rahman itu mencuri perhatian menerusi perkongsian mengenai usahanya menyantuni murid di kediaman masing-masing, sekali gus memperlihatkan komitmen seorang pendidik dalam memastikan pendidikan terus diberikan meskipun berdepan kekangan.
Menurut Cikgu Alif yang merupakan tenaga pengajar Pemulihan Khas, kunjungan tersebut bukan melibatkan semua murid, sebaliknya memberi tumpuan kepada mereka yang berdepan masalah capaian internet perlahan atau tidak mempunyai kemudahan internet.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang memberi keizinan untuk beliau hadir menyantuni anak-anak mereka di rumah.
“Terima kasih emak dan ayah kerana mengizinkan saya menyantuni anak-anak di rumah.
“Kebahagiaan dalam mendidik bukan pada sempurnanya perjalanan, tetapi pada setiap nilai kebaikan yang dapat disemai,” katanya.
Beliau turut berharap agar usaha kecil yang dilakukan itu mampu meninggalkan kenangan bermakna, selain membantu membentuk generasi yang memiliki akhlak mulia.
“Semoga setiap usaha kecil ini menjadi kenangan indah dan asbab lahirnya generasi yang berakhlak mulia,” ujarnya.








