Aliff Daniel, ibu ditahan JAIS, 14 individu lain bakal dipanggil bantu siasatan | The Reporter

Aliff Daniel, ibu ditahan JAIS, 14 individu lain bakal dipanggil bantu siasatan

Aliff Daniel dan ibunya ditahan bagi membantu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Gambar: Media Selangor

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan individu dikenali sebagai Aliff Daniel bersama ibunya ditahan di Kuala Lumpur, tengah hari tadi bagi membantu siasatan berhubung kes yang tular sebelum ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penahanan kedua-duanya dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Berdasarkan risikan JAIS selepas kes melibatkan individu berkenaan tular, sekurang-kurangnya 14 individu lain dijangka dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, JAIS memandang serius perkara tersebut dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, peruntukan undang-undang serta fakta kes.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.

JAIS turut meminta masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.

Related Posts