‘Mak cik nak jalan kaki, anak kemalangan’ - Pilu ibu kehilangan anak tunggal lelaki | The Reporter

‘Mak cik nak jalan kaki, anak kemalangan’ – Pilu ibu kehilangan anak tunggal lelaki

Penunggang motosikal membantu ibu mangsa kemalangan menuju ke lokasi nahas di Lebuh Raya Cheras-Kajang.
seorang ibu,.. Tangkap layar video tular memaparkan seorang ibu dibantu penunggang motosikal untuk ke lokasi kemalangan yang menimpa anaknya di Lebuh Raya Cheras-Kajang.

Hati seorang ibu mana yang tidak luluh apabila menerima panggilan memaklumkan anak tersayang terbabit dalam kemalangan, namun lebih memilukan apabila dia tidak mengetahui bahawa anaknya sebenarnya sudah meninggal dunia.

Itulah detik menyayat hati yang dilalui seorang wanita apabila anak lelakinya, Muhammad Arifat Shaion, 23, maut dalam kemalangan di Kilometer 13.1 Lebuh Raya Cheras-Kajang, berhampiran Batu 9 Cheras, petang semalam.

Difahamkan, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Makteh bergegas dari Kajang bersama seorang rakannya selepas menerima panggilan memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

Bagaimanapun, perjalanan mereka terhalang akibat kesesakan lalu lintas yang teruk, menyebabkan wanita itu semakin gelisah untuk segera sampai ke lokasi kejadian.

Menerusi perkongsian individu dipercayai anak saudaranya di media sosial, Makteh pada awalnya hanya dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut dan diminta segera datang tanpa mengetahui anaknya sudah menghembuskan nafas terakhir.

Keadaan bertambah pilu apabila wanita itu dipercayai ternampak jasad anaknya yang sudah ditutup dengan kain di seberang lebuh raya.

Tidak mampu menahan perasaan, Makteh terus keluar dari kereta sebelum meminta bantuan seorang penunggang motosikal untuk membawanya ke lokasi kejadian.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Arifat merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga berkenaan dan dikenali sebagai seorang anak yang baik serta taat kepada ibu bapanya.

“Satu-satunya anak lelaki. Dia anak yang baik, taat ibu bapa. Allah pinjamkan 23 tahun untuk Makteh sekeluarga,” katanya.

Pertolongan penunggang motosikal

Dalam perkongsian berasingan, penunggang motosikal berkenaan menceritakan bahawa dia pada mulanya hampir mengalami kemalangan apabila wanita itu secara tiba-tiba membuka pintu kereta ketika jalan sesak.

Bagaimanapun, perasaan marahnya serta-merta bertukar menjadi simpati selepas mengetahui sebab wanita berkenaan bertindak sedemikian.

“Kenapa ni mak cik buka pintu kereta tengah-tengah jalan?

“Mak cik tu cakap, anak saya kemalangan dekat depan sana. Jadi mak cik nak jalan kaki ke sana sebab jem teruk.

“Allah, tak jadi aku nak marah. Terus aku dan kawan aku angkut mak cik dengan kawan dia naik motor terus ke lokasi kemalangan,” katanya.

Related Posts