Usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad, tampil mengeluarkan kenyataan yang sedang melanda dirinya ketika itu.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Instastorynya hari ini, beliau mengambil maklum mengenai kecaman netizen terhadapnya berhubung penularan video lama yang menunjukkan dirinya berasak dalam keramaian di depan Kaabah bagi memberi ruang kepada pekerjanya (wanita) untuk mencium Hajar Aswad.
Hafiz pada awalnya dinasihatkan untuk mendiamkan diri, namun atas rasa dirinya perlu bertanggungjawab maka beliau tampil mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Hari ini ramai sahabat yang update tentang (perkara) ini. Terima kasih sahabat kerana inform saya.
“Ada yang menasihatkan saya untuk diam. Tetapi saya nak bertanggungjawab kerana agama atas kenyataan atau persepsi dari tweet ini.
“Bagi saya masa untuk kukuhkan input dan minta pandangan dari yang pakar supaya kesilapan lama tidak akan berulang. Doakan saya ada kemampuan untuk usahakan perkara ini,” katanya.
Terdahulu media sosial kecoh dengan tindakan seorang wanita yang memuat naik semula video kontroversi tersebut dengan kapsyen yang mengundang persepsi negatif.
Hal itu membuatkan netizen kesal dan mula menyalahkan Hafiz yang menjadi punca salah faham itu berlaku dan mendesak agar pempengaruh berkenaan tampil bertanggungjawab di atas perbuatannya yang secara tidak langsung telah menimbulkan fitnah terhadap agama.