UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang | The Reporter

UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang

Kenyataan media UMNO mengenai sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan Malaysia dan pendirian politik menjelang pilihan raya.
Gambar: Malay Mail

UMNO menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas titah Yang di-Pertuan Agong, sehingga pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sokongan tersebut adalah selaras dengan pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor telah dibentuk lebih awal sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan ketika itu tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan.

“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO berhak menentukan pendirian politiknya menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, yang tarikhnya ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tambah beliau, keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan mandat di peringkat negeri bukanlah satu bentuk pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, ia merupakan amalan demokrasi yang sah dan berperlembagaan bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Dalam masa sama, UMNO menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat, namun menegaskan bahawa sebarang kerjasama perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan.

Related Posts