WALES – Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia semasa menyertai pertandingan makan marshmallow di sebuah acara mengumpul dana.
Mangsa, Natalie Buss, seorang akauntan berusia 37 tahun, menyertai pertandingan yang dianjurkan untuk mengumpul dana bagi pasukan ragbi bawah-10 tahun, anak lelakinya.
Buss telah memakan sejumlah besar marshmallow berwarna merah jambu dan putih di atas pentas dan tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.
Beberapa penonton, termasuk seorang jururawat yang sedang bercuti, berusaha membantu mangsa sementara menunggu pasukan kecemasan tiba di lokasi.
Malangnya, usaha mereka tidak berjaya dan Buss dilaporkan telah meninggal dunia, membuatkan ramai penonton yang hadir ketika itu terkejut dan menangis.
Difahamkan, Buss telah memenangi permainan bingo yang membawanya menyertai pertandingan makan marshmallow yang akhirnya mengakibatkan kematian.
Peserta hanya diberi masa 60 saat untuk melihat berapa banyak marshmallow yang dapat ditelan oleh mereka, sambil disokong oleh keluarga dan sahabat. – Agensi