Seorang guru berkongsi pengalaman menerima sepucuk surat daripada pelajar lelaki Tingkatan Dua yang menegurnya supaya memakai sarung lengan ketika mengajar.
Menurutnya, pelajar itu datang menyerahkan surat secara senyap dan kelihatan gelisah. Pada mulanya, beliau menyangka pelajar berkenaan ingin memberitahu tentang suatu masalah, namun surat itu sebenarnya mengandungi teguran mengenai auratnya.
Dalam surat tersebut, pelajar itu memohon maaf sebelum meminta tenaga pengajarnya membiasakan diri memakai sarung lengan kerana menyedari sebahagian kecil lengannya terdedah ketika mengajar. Pelajar itu menjelaskan bahawa dia memilih untuk menulis surat kerana malu untuk menegur secara bersemuka.
Guru berkenaan yang dikenali sebagai Syamimi berkata, beliau menerima nasihat itu dengan hati terbuka. Beliau turut menyifatkan murid tersebut sebagai seorang yang baik dan sering menawarkan bantuan kepadanya.
“Saya terima nasihat awak dengan hati yang terbuka dan saya anggap ini juga teguran kecil daripada Allah untuk hamba-Nya,” katanya.

Baca juga:
- Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke, mahu runding semula
- ‘Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia’ – Safawi
- ‘Pecat semua menteri DAP yang persoal titah diraja’ – Takiyuddin

Beliau turut menjelaskan bahawa permintaan pelajar itu supaya perkara tersebut tidak diberitahu kepada sesiapa merujuk kepada identiti penulis surat, bukannya kandungan teguran. Menurutnya, pelajar berkenaan tidak keberatan surat itu dikongsi dan gembira menerima doa orang ramai.
Katanya, perkongsian tersebut dibuat kerana beliau tersentuh dengan tindakan murid itu dan mahu menyimpannya sebagai kenangan sepanjang mengajar.








