UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas mahupun DAP bagi menentukan kelangsungan politiknya, sebaliknya perlu berdiri dan membangunkan kekuatan sendiri.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu perlu berdikari dengan membina kekuatan menerusi cara dan strategi sendiri tanpa menyandarkan masa depannya kepada kekuatan parti lain.
Menurutnya, UMNO tidak mempunyai ‘talian hayat’ lain selain kebingkasan dan ketahanan diri parti itu sendiri.
“UMNO juga sangat menyedari bahawa kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak pada PH ataupun PN, tidak Pas, apatah lagi bergantung dengan DAP.
“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain atau kekuatan mereka. UMNO mesti berdiri dan berdikari sendiri membangunkan kekuatan kita dengan cara dan strategi kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), pada Rabu.
Kesan temph panjang
Mohamad berkata, kebergantungan kepada parti lain mungkin membantu UMNO mencapai matlamat dalam jangka pendek, namun kesannya dalam tempoh panjang boleh memudaratkan usaha pemulihan parti.
“Selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh lagi daripada pemulihan.
“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin berjaya. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu akan lebih memudaratkan lagi UMNO,” katanya.
Beliau menyifatkan kebergantungan kepada pihak lain sebagai formula politik yang tempang, selain menegaskan UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang perlu dipertahankan.
Kembalikan peranan untuk kestabilan poltik
Katanya, UMNO perlu mengembalikan kekuatannya sendiri supaya pada akhirnya parti itu tidak lagi perlu bergantung kepada pihak lain untuk terus berkelangsungan.
Mohamad turut mengimbas kedudukan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, apabila parti itu buat pertama kali tidak lagi menjadi kerajaan Persekutuan.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan UMNO perlu meneroka pelbagai formula politik bagi mengembalikan peranannya sebagai antara komponen penting dalam memastikan kestabilan politik negara.
Baca juga:
- ‘UMNO tidak boleh bergantung pada mana-mana parti’ – Tok Mat
- ‘PH laksana bahtera yang tidak tahan dilambung ombak’ – Hadi Awang
- Pas-Bersatu: Pas beri bayangan tiada lagi ruang berdamai
Beliau berkata UMNO menyertai Kerajaan Perikatan Nasional pada 2020, kemudian mengetuai Kerajaan Keluarga Malaysia pada 2021 sebelum bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan pada November 2022.
Menurutnya, walaupun UMNO berdepan pelbagai tohmahan, tuduhan dan kecaman ketika bekerjasama dengan pihak yang pernah menjadi seteru politik, parti itu tetap meneruskan pendekatan berkenaan kerana mempunyai peranan dalam kerajaan dilihat lebih strategik berbanding hanya menjadi pembangkang.
Mohamad berkata, pelbagai pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung selepas itu turut menyaksikan UMNO terus bereksperimen dengan strategi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Beliau berkata pendirian UMNO sejak 2018 sering dilihat sebagai satu ‘enigma politik’ kerana arah gabungan, strategi parti dan pendekatan kepimpinannya kadangkala sukar difahami.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu berlaku atas dua sebab utama, iaitu kelangsungan UMNO dan kesedaran bahawa parti berkenaan perlu membina kekuatan sendiri.









