Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan mahu mencadangkan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebagai calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu.
Menurut laporan New York Post, Trump melihat Infantino sebagai individu yang mampu memainkan peranan menyatukan negara-negara dunia berdasarkan pengalamannya menerajui badan bola sepak antarabangsa itu.
Laporan itu memetik sumber yang rapat dengan Trump sebagai berkata, Presiden AS beranggapan Infantino mendapat penghormatan di peringkat global serta mempunyai keupayaan membawa pihak berbeza bersama.
Cadangan berkenaan dilaporkan timbul selepas hubungan rapat antara Trump dan Infantino ketika persiapan serta penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Utara.
Infantino, 56, yang berasal dari Switzerland, kini mengetuai FIFA selepas dipilih sebagai presiden badan bola sepak dunia itu pada 2016. Beliau turut dilaporkan telah menyatakan hasrat untuk bertanding semula bagi jawatan tersebut pada pemilihan FIFA akan datang.
Baca juga:
- Dari FIFA ke PBB? Trump mahu Infantino jadi Setiausaha Agung baharu
- Isu warga Israel: Kongres AS tekan Washington kaji semula hubungan dengan Malaysia
- Zohran Mamdani sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu
Sokongan terhadap Infantino sebagai calon pemimpin PBB dilaporkan turut mendapat perhatian daripada beberapa sekutu Trump, termasuk wakil khas AS, Paolo Zampolli, yang menyifatkan pengalaman Infantino mengurus FIFA dengan lebih 200 ahli sebagai satu kelebihan untuk mengendalikan organisasi antarabangsa seperti PBB.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan rasmi daripada Rumah Putih atau FIFA berhubung perkara itu, termasuk sama ada Infantino berminat menerima pencalonan berkenaan.
Pemilihan Setiausaha Agung PBB juga memerlukan sokongan Majlis Keselamatan PBB sebelum disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB, sekali gus menjadikan laluan Infantino ke jawatan itu masih belum pasti.
Jawatan Setiausaha Agung PBB kini disandang António Guterres yang dijangka menamatkan tempoh perkhidmatannya, sekali gus membuka persaingan untuk mencari pengganti baharu.









