Pelantikan 11 Ahli Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026 menimbulkan persoalan apabila tiada seorang pun wakil daripada masyarakat India dilantik dalam barisan tersebut.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan, Ts. Dr. Subash Chandrabose M Arumugam berkata, perkara itu amat mengecewakan memandangkan Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang dihuni pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan komuniti lain.
Menurutnya, representasi setiap kaum dalam struktur pentadbiran bandar penting bagi memastikan isu masyarakat dapat difahami dan ditangani secara menyeluruh, khususnya melibatkan kebajikan serta pembangunan komuniti setempat.
Baca juga:
- ‘Ujian bertimpa-timpa datang, saya reda’ – Bapa Aliff Daniel
- Nahas Jalan Kuching: CIMB zahir simpati, akan ambil tindakan sewajarnya
- ‘Jangan hukum saya berdasarkan cerita sebelah pihak’ – Marhamah Rosli
Kepentingan wakil komuniti dalam pentadbiran bandar
Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini, pelantikan Ahli Penasihat DBKL lazimnya mengambil kira keseimbangan wakil daripada pelbagai kaum bagi memastikan proses konsultasi kepada pihak berkuasa tempatan lebih menyeluruh.
Justeru, ketiadaan wakil masyarakat India dalam pelantikan kali ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti tersebut, terutamanya di ibu negara.
Subash turut mempersoalkan sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan telah terlepas pandang kepentingan suara dan kebajikan masyarakat India dalam proses pelantikan berkenaan.
Harap kementerian teliti semula pelantikan
Sehubungan itu, beliau berharap kementerian berkenaan dapat meneliti semula perkara tersebut dan mempertimbangkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang wakil daripada masyarakat India.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan prinsip keterangkuman, keseimbangan dan keadilan terus terpelihara dalam pentadbiran Kuala Lumpur.
“Bandar raya Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh itu, setiap komuniti perlu diberi ruang untuk bersuara dalam proses membuat keputusan,” katanya.
Sumber: Facebook A.Subash Chandrabose








