MP DAP cabar UMNO, PAS buat kajian sendiri isu pilihan raya Datuk Bandar KL | The Reporter

MP DAP cabar UMNO, PAS buat kajian sendiri isu pilihan raya Datuk Bandar KL

MP DAP cabar UMNO dan PAS buat kajian sendiri isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur demi hak penduduk KL
MP DAP cabar UMNO, PAS buat kajian sendiri isu Datuk Bandar KL, suara penduduk wajar dipertahankan | Gambar: FB Lim Lip Eng

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mencabar UMNO dan Pas supaya menerbitkan kajian mereka sendiri secara terbuka berhubung bantahan terhadap cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, jika benar-benar yakin langkah itu tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, penolakan tanpa sandaran fakta dan data hanya mengundang persoalan mengenai keikhlasan kedua-dua parti tersebut dalam mempertahankan kepentingan penduduk ibu negara.

“Jika yakin cadangan ini tidak baik, bentangkan kajian berasaskan fakta dan data. Jangan bermain sentimen politik. Biarkan rakyat Kuala Lumpur menilai sendiri,” katanya.

Lim menegaskan, kajian yang telus dan terbuka penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran bandar dibuat secara berasaskan bukti, bukan persepsi atau kepentingan politik sempit.

Baca juga:

Bantahan tanpa data undang persoalan

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO dan Pas seharusnya tidak takut kepada proses kajian yang terbuka sekiranya benar-benar memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

“Jika mereka enggan menerbitkan kajian, rakyat berhak bertanya apa sebenarnya yang ditakuti,” katanya.

Menurut Lim, isu pemilihan Datuk Bandar bukan sekadar soal politik, sebaliknya melibatkan masa depan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran Kuala Lumpur.

Pendekatan berasaskan kajian mampu memberi gambaran jelas sama ada sistem sedia ada masih relevan atau perlu diperbaharui demi kepentingan penduduk bandar.

Tegas Lim lagi, demokrasi merupakan hak rakyat dan penduduk Kuala Lumpur berhak memilih pemimpin yang mentadbir bandar mereka secara telus dan bertanggungjawab.

Kajian kerajaan jadi titik permulaan

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut Hannah, pendekatan itu dilihat lebih praktikal berbanding pemilihan ramai ahli majlis menerusi pilihan raya kerajaan tempatan. Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts