Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyuarakan rasa kecewa apabila kuil yang menjadi tempat ibadat utama masyarakat India kini dilabel sebagai “haram” oleh pihak berkuasa.
Menurut Saravanan, penggunaan istilah tersebut amat tidak wajar, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan istilah “pendatang haram” yang sebelum ini dianggap sensitif dan tidak boleh disebut.
“Kerajaan sensitif apabila kita menggunakan perkataan haram terhadap warga asing, tapi masyarakat India bekerja keras lebih 200 tahun membangunkan negara ini.
“Adalah fakta Malaysia menjadi maju dengan menjual getah, jika komuniti india tak datang ke Malaysia sebagai penoreh getah, Malaysia mungkin mengambil masa lebih panjang untuk maju seperti apa yang kita nampak hari ini, tapi kita semua tahu apa yang sedang berlaku hari ini.
“Masyarakat India bersatu padu kerana kuil, inilah tempat kita berkumpul, dulu sejarah ini tak dipertikai, tapi dalam masa enam bulan ini, ia menjadi isu, kami semua tahu siapa dan macam mana mereka buat ini,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.
Isu ini timbul selepas pihak Hospital Taiping menggunakan istilah “kuil haram” dalam satu laporan maklum balas rasmi berkenaan rumah ibadat yang terletak di dalam kawasan hospital.
Susulan itu, Saravanan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi kerajaan agar berhenti menggunakan istilah tersebut yang disifatkan sebagai menghina sejarah dan sensitiviti kaum.
Kontroversi ini turut dikaitkan dengan pemindahan kuil berusia 130 tahun di Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid di atas tanah wakaf. Anwar kemudian menjelaskan bahawa kuil tersebut dibina tanpa kebenaran pemilik tanah.
Namun, beberapa pihak termasuk Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek, menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan istilah “haram” yang boleh memburukkan persepsi antara kaum. Katanya, reaksi keras terhadap isu ini banyak datang daripada satu kelompok etnik tertentu, dan ia menjadi trend yang membimbangkan.








