Tindakan perobohan akan dilaksanakan terhadap bangunan kediaman bertingkat yang dikaitkan dengan penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, kata Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, bangunan yang tular di media sosial itu didapati berada sebahagian besarnya di atas lot tanah hak milik individu dan sebahagian kecil di atas rizab jalan, manakala beberapa struktur lain turut didirikan secara tidak sah di kawasan berhampiran termasuk di atas rizab sungai.
Tindakan penguatkuasaan
PDT Hulu Langat menjelaskan pihaknya telah mengambil pelbagai tindakan penguatkuasaan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu, termasuk mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah pada tahun 2017, 2020, 2021 dan yang terkini pada 13 Mac 2025 mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Selain itu, satu operasi perobohan bersepadu turut dilaksanakan pada tahun 2017 melibatkan beberapa agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pula dilaporkan telah mengeluarkan notis dan tawaran kompaun pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021 kerana pembinaan bangunan tanpa kebenaran bertulis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Dalam perkembangan berkaitan, LUAS telah membuka kertas siasatan pada tahun 2025 bagi mengesyorkan tindakan pengkompaunan terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor yang menyertai operasi bersama PDRM menerusi Ops Kutip pada 28 Februari 2025 telah menahan seramai 42 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Akan dirobohkan mengikut prosedur
PDT Hulu Langat menegaskan bahawa tindakan perobohan terhadap bangunan yang dimaksudkan akan diteruskan mengikut prosedur dan undang-undang yang berkuat kuasa, sejajar komitmen kerajaan dalam menangani pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan tanpa kebenaran.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Bukan perkara baharu
Mengulas isu yang tular itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata tindakan dan penguatkuasaan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan berkenaan bukanlah perkara baharu.
Menurut beliau, pelbagai tindakan telah diambil oleh agensi kerajaan sejak tahun 2016 termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan, tindakan penguatkuasaan serta perobohan yang melibatkan PDT Hulu Langat, MPKj, LUAS, PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kerajaan Negeri menegaskan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada fakta dan kenyataan rasmi pihak berkuasa serta tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan yang disebarkan di media sosial.









