Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh penulis dan pendakwah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkenaan dengan pakaian dan periuk atau apa-apa sahaja barangan yang tidak digunakan dalam masa 40 akan dihisab menerima pelbagai reaksi sehingga ada yang meminta pendakwah tersebut menyertakan hadis bagi menguatkan kenyataannya.
Jelas Ustaz Pahrol, tempoh 40 hari yang disebutkan bukan daripada mana-mana dalil Al Quran atau hadis sebaliknya dipetik dari pengalaman relatif dari segi adat, lumrah dan kebiasaan masyarakat.
“Saya mohon maaf kepada ustaz dan semua yang telah, sedang dan akan mengikuti klips singkat itu atas kekhilafan dan kekeliruan yang telah berlaku. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan mengakui atas kesalahan dan kesilapan tersebut.
Tidak ada dalil
“Tempoh 40 hari yang saya sebut memang tidak ada dalil, sama ada daripada Al Quran dan Al Hadis. Saya petik 40 hari sebagai hujah pengalaman yang relatif dari segi adat, lumrah dan kebiasaan masyarakat.
“Ia bersifat relatif dan nisbi. Maksudnya, lain orang lain pula tempoh masa mereka tidak perlukan sesuatu barang, pakaian dan lain-lain itu.Mungkin lebih cepat atau lebih lambat daripada tempoh 40 hari,” katanya.
Ujarnya, apa yang ditekankan melalui kenyataan beliau adalah material tersebut hanya disimpan dan tidak digunakan.
“Apa yang penting dan ingin saya tekankan ialah material itu HANYA disimpan dan tidak digunakan. Jika demikian, apa gunanya? Lebih Baik diinfaqkan.
“Adapun, barang yang masih diperlukan dan ingin digunakan adalah tidak termasuk dalam apa yang saya maksudkan dalam video klips tersebut. Tidak kiralah seminggu, 40 hari, 4 bulan, 4 tahun sekalipun.
Berpandukan hukum adat,waqi’ atau realiti masyarakat
“Ertinya, tempoh 40 hari itu tidak merujuk kepada hukum syariat (bab fiqih atau muamalat) tetapi hanya hukum adat, waqi’ atau realiti masyarakat setempat atau bangsa,” katanya.
Beliau juga menerangkan bahawa ada individu yang hanya mengambil kira soal keperluan sahaja tanpa kehendak kerana bimbang dengan hisab yang menanti di akhirat kelak.
“Apa yang saya terangkan itu bermula dengan kata-kata Sayyidina Ali RA: “Dunia ini halalnya dihisab, haramnya diazab.”
“Justeru, bagi orang yang dekat dengan Allah (sesetengah mereka) mengambil sekadar keperluan dan kemudahan daripada dunia ini kerana bimbang hisabnya rumit dan panjang di akhirat kelak. Malah, mungkin bagi mereka tempohnya bukan 40 hari malah lebih singkat daripada itu kerana mati boleh datang tiba-tiba.
“Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata: ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.
“Kemudian Ibnu Umar berkata: Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu (Hadis riwayat Bukhari),” tulisnya.
Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi