Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, menasihatkan semua pihak agar berhati-hati dalam memilih perkataan ketika membincangkan isu sensitif melibatkan peranan wanita, khususnya dalam operasi berisiko.
Menurut beliau, pandangan yang membenarkan isteri atau anak perempuan menyertai sesuatu operasi berisiko mungkin mempunyai asas dan alasan tersendiri. Namun, keputusan tersebut perlu mengambil kira aspek keselamatan serta menjaga maruah wanita dari pelbagai sudut. Jelasnya, secara asasnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya seperti peperangan atau situasi berisiko tanpa keperluan yang mendesak.
“Sesiapa yang membenarkan isteri atau anak perempuannya pergi ke sesuatu operasi berisiko, ia satu pandangan atau penilaian yang mungkin ada alasannya.
“Itupun hendaklah mengambil kira soal keselamatan dan harga diri wanita dalam pelbagai sudut. Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan,” katanya.
Lelaki lindungi wanita
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab lelaki adalah untuk melindungi keselamatan isteri dan anak-anak, khususnya golongan wanita. Walau bagaimanapun, jika keadaan memerlukan penglibatan wanita, mereka dibenarkan untuk turut serta seperti mana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam, di mana para sahabat wanita membantu Nabi Muhammad SAW dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu, dan ia dianggap sebagai satu amalan yang berpahala.
“Itupun hendaklah mengambil kira soal keselamatan dan harga diri wanita dalam pelbagai sudut. Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan.
“Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya yang perempuan. Jika keadaan memerlukan khidmat wanita, mereka boleh sertai seperti para sahabat wanita menyertai Nabi s.a.w dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu,” jelasnya.
Baca juga:
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
- Raih 10A1 SPM, lelaki kongsikan kisah pengorbanan cikgu Matematik
Penglibatan selari dengan syarak
Tambahnya lagi, penglibatan wanita dalam operasi perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk tujuan yang selari dengan syarak, keizinan suami serta kesesuaian dari sudut kemampuan dan keadaan diri wanita itu sendiri. Sekiranya semua syarat tersebut dipenuhi, maka penyertaan mereka adalah diharuskan.
Mengulas lanjut, Dr Maza turut menegur kenyataan yang memperkecilkan wanita yang tidak menyertai operasi dengan melabelkan mereka sebagai ‘sekadar duduk di rumah’. Katanya, pandangan sedemikian adalah tidak wajar kerana secara asasnya wanita berada di bawah perlindungan suami atau wali dan tidak seharusnya terdedah kepada bahaya tanpa keperluan.
“Adapun kenyataan yang menganggap wanita yang tidak sertai sebagai isteri yang disimpan di rumah seakan tidak berperanan amatlah tidak sesuai. Ini kerana, asal wanita memang di rumah di bawah perlindungan suami atau wali (ayah, datuk, anak lelaki, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain). Mereka tidak dibiarkan terdedah kepada bahaya jika tiada keperluan untuk hal itu berlaku,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam beberapa keadaan, wanita digalakkan untuk menunaikan solat di rumah sekiranya terdapat risiko untuk ke masjid.
Nilai dengan pertimbangan bukan emosi
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menilai sesuatu isu dengan ilmu dan pertimbangan yang seimbang, bukannya berasaskan emosi semata-mata. Dalam pada itu, Dr Maza turut berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penceramah (PU) mungkin berniat baik, namun pemilihan ayat dilihat kurang sesuai dan tidak perlu diperbesarkan sehingga mencetuskan kecaman.
Terdahulu, kenyataan yang dibuat oleh PU Rahmat mengundang kritikan ramai. Bagaimanapun, beliau memohon maaf di atas kenyataan tersebut.











