Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila mendakwa filem Konspirasi yang baru ditayangkan di pawagam tempatan dihentikan tayangannya secara mengejut selepas hanya kira-kira tujuh hari.
Menerusi perkongsian di media sosial, Sarimah mendakwa beberapa perubahan drastik berlaku sepanjang tempoh tayangan filem tersebut, termasuk poster promosi yang didakwa diturunkan di pawagam serta pengurangan waktu tayangan dalam tempoh beberapa hari sahaja selepas filem mula ditayangkan.
“Diberitahu last week hari kedua dah ada poster-poster Konspirasi diturunkan dan tak dibenarkan up kat pawagam. Tapi filem local lain yang diletak,” tulisnya.
Beliau turut menyatakan terdapat dialog dalam filem berkenaan yang didakwa telah dipotong semasa proses tapisan. Perkara tersebut menurutnya menimbulkan tanda tanya serta rasa kurang puas hati terhadap peluang dan ruang yang diberikan kepada karya tempatan.

Baca juga:
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
- Tabung untuk Adrian Adam dihentikan, Pak Nil umum jumlah kutipan
- Anak Amyza Aznan, Adrian curi perhatian di pentas TTMM

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengedar filem mahupun pihak pawagam berhubung dakwaan tersebut.
Sarimah menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang ‘pelik’ dan memilih untuk bertenang, sambil memberi bayangan akan berkongsi lebih lanjut pada masa akan datang.
“Ni kali kedua sis menghadapi situasi sangat pelik pasal filem. Nak cerita semua kang terlebih spill segalanya. Maybe later. Persoalan menjadi gangguan.Jadi, ketenangan jadi pilihan,” katanya.









