Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Umat Islam yang bekerja dalam persekitaran bercampur lelaki dan wanita diingatkan supaya sentiasa menjaga adab pergaulan bagi mengelakkan berlakunya fitnah, khususnya yang berkaitan hubungan emosi berlebihan di tempat kerja seperti fenomena ‘office wife’ dan ‘office husband’.
Menurut kenyataan Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak, Islam tidak melarang wanita untuk bekerja mencari rezeki halal, namun ia mesti disertai dengan pematuhan kepada garis panduan syarak termasuk menjaga batas pergaulan dan maruah diri.
Fenomena ‘office wife-husband’ merujuk kepada hubungan rapat antara rakan sekerja berlainan jantina yang melangkaui batas profesional, apabila individu terbabit saling berkongsi masalah peribadi, bergantung secara emosi dan berinteraksi seolah-olah pasangan suami isteri.
“Walaupun pada awalnya bermula sebagai hubungan kerja biasa, ia boleh membuka ruang kepada gangguan emosi dan perasaan yang tidak wajar sehingga membawa kepada fitnah,” menurut kenyataan itu.
Amaran terhadap ‘zina hati’ dan ikhtilat
Jabatan Mufti turut menegaskan bahawa pergaulan bebas (ikhtilat) antara lelaki dan wanita bukan mahram boleh membawa kepada perbuatan yang ditegah syarak termasuk di dalam ‘zina hati’.
Fenomena tersebut sering bermula daripada interaksi kecil seperti gurauan, mesej peribadi atau perkongsian makanan, yang membuka pintu kecurangan emosi.
Baca juga:
- ‘Istilah ‘office wife-husband’ berisiko cetus fitnah – Jabatan Mufti Perak
- Ustaz Elyas tegur wanita kritik hidangan raya
- ‘Kenyataan isteri tak sertai GSF ‘disimpan di rumah’ tak sesuai’ – Dr Maza
Larangan khalwat dan hikmah
Kenyataan itu turut mengingatkan tentang larangan khalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan wanita bukan mahram yang dianggap boleh membuka ruang kepada gangguan syaitan serta maksiat.
Antara hikmah larangan tersebut termasuk menutup pintu zina, memelihara maruah diri, menjaga kekuatan iman, mengelakkan risiko gangguan seksual serta memastikan keharmonian sosial.
Garis panduan pergaulan di tempat kerja
Sehubungan itu, beberapa adab pergaulan turut ditekankan termasuk menundukkan pandangan, menjaga aurat, mengelakkan sentuhan fizikal, tidak berdua-duaan di tempat tertutup serta menjaga nada suara dan penggunaan bahasa semasa berinteraksi.
Selain itu, pekerja juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi hal rumah tangga atau emosi peribadi dengan rakan sekerja berlainan jantina, selain mengelakkan komunikasi peribadi di luar urusan kerja.
Dalam masa sama, organisasi dan majikan digalakkan untuk mewujudkan kod etika pergaulan di tempat kerja, polisi gangguan seksual serta saluran aduan yang selamat bagi menangani sebarang isu berkaitan.
Orang ramai yang berdepan gangguan seksual juga boleh mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp 019-2615999.
Jabatan Mufti Negeri Perak menegaskan bahawa pergaulan yang tidak terkawal di tempat kerja boleh membawa kepada fitnah, keretakan rumah tangga dan kemerosotan akhlak.
“Secara tuntasnya perbuatan yang tidak bermoral dan songsang ini boleh mencetuskan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berpotensi membawa mudarat yang lebih besar seperti tergelincir ke dalam maksiat, zina dan kemerosotan sifat mawaddah dan kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, umat Islam diseru supaya kembali kepada panduan syarak, menjaga batas pergaulan serta sentiasa memohon perlindungan Allah SWT agar terhindar daripada fitnah dan kemudaratan dalam kehidupan dunia dan akhirat.









