University College of Yayasan Pahang (UCYP University) merakamkan penghargaan kepada seorang mahasiswanya selepas tindakannya membantu melancarkan perjalanan sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Tengku Ampuan Afzan baru-baru ini mendapat perhatian ramai di media sosial.
Mahasiswa berkenaan, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Seni Visual (Kepujian) dalam Reka Bentuk Kreatif di UCYP University, dipuji atas keprihatinan dan tindakan pantasnya ketika kejadian berlaku di laluan dari Jaya Gading menuju ke Kuantan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Tuan Nurhan Syafiy telah menerima sijil penghargaan daripada pihak universiti yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), Prof. Madya Dr. Ahmad Fared, sebagai pengiktirafan terhadap tindakan berkenaan.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Sebelum ini, Tuan Nurhan tular di media sosial apabila dirakam membantu mengawal aliran trafik bagi memberi laluan kepada ambulans yang dalam perjalanan membawa pesakit dalam keadaan kecemasan ke HTAA. Tindakan spontan itu membantu mempercepatkan pergerakan ambulans walaupun ketika keadaan jalan raya sesak.
Tindakannya menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan ia sebagai contoh keprihatinan sivik yang wajar dicontohi.
Pihak universiti turut menzahirkan harapan agar semangat prihatin yang ditunjukkan mahasiswa tersebut dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain dalam membantu masyarakat.








