Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 | The Reporter

Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12

Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Gambar: Facebook Galeri Tuanku Ja’afar

Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di negeri itu.

Pengisytiharan dibuat oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat, dengan pelantikan berkuat kuasa serta-merta selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam pengisytiharan tersebut, pemilihan dan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Pengumuman itu turut merujuk kepada pemasyhuran yang telah dibuat pada 19 April lalu.

Tunku Nadzaruddin dalam titah ringkasnya menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan serta pemasyhuran baginda. Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh para hadirin.

Pada April lalu, empat Undang termasuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menegaskan tindakan tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana kedudukan Mubarak sebagai Undang dipertikaikan serta didakwa tidak mempunyai kuasa yang sah untuk membuat pengisytiharan berkenaan.

Sumber: Suara rakyat Paroi

Related Posts