Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya baru-baru ini bukan bertujuan untuk mempamerkan diri sebaliknya kerana beliau mahu melihat sendiri semangat kemerdekaan yang diraikan rakyat.
Menerusi Podcast Dr M S2 Edisi Khas Hari Kebangsaan, Tun Dr Mahathir berkata, sambutan Hari Kebangsaan merupakan acara yang sentiasa dinantikan dan dihadirinya sejak sekian lama, termasuk selepas Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.
Menurut beliau, kehadirannya pada sambutan berkenaan adalah bagi melihat sama ada kemeriahan dan semangat sambutan kemerdekaan masih sama seperti dahulu.
“Tiap-tiap tahun itulah perayaan yang saya amat gembira. Saya selalu pergi, kalau tak pergi berasa kosong. Sebab itu saya nak lihat juga sambutan. Apakah sambutan masih lagi seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara yang turut mahu dilihat adalah penglibatan golongan muda dalam sambutan berkenaan, khususnya mereka yang dilahirkan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Baca juga:
- Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang
- ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing
- ‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
Nilai kemerdekaan
Katanya, generasi yang lahir selepas merdeka tidak pernah merasai sendiri pengalaman hidup di bawah penjajahan dan keadaan itu menyebabkan mereka mungkin mempunyai perspektif berbeza mengenai nilai kemerdekaan.
“Tidak pernah merasai hidup dijajah. Jadi kemerdekaan kepada orang yang biasa dijajah lebih daripada orang lain yang tak pernah dijajah,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, pengalaman dijajah memberikan pengertian yang lebih mendalam terhadap nilai kemerdekaan kerana seseorang yang tidak pernah melaluinya mungkin tidak memahami perasaan serta penghinaan yang dirasai ketika berada di bawah kuasa penjajah.
Dalam pada itu, beliau turut menolak tanggapan bahawa kehadirannya di Dataran Putrajaya adalah usaha untuk menonjolkan dirinya kepada umum.
Tradisi puluhan tahun
Katanya, setiap individu mempunyai pandangan berbeza terhadap kehadirannya, sama ada menyokong atau tidak, namun bagi beliau, tujuan kedatangannya adalah untuk memenuhi satu tradisi yang sudah diikutinya selama puluhan tahun.
“Kalau mereka berpendapat saya sengaja nak pamerkan diri saya, itu pendapat mereka. Bagi saya, lawatan saya itu memenuhi satu agenda yang telah saya ikuti selama 60 tahun,” katanya.
Mengimbas kembali perasaannya ketika menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan, Tun Dr Mahathir berkata beliau berasa gembira dan bangga melihat perkembangan negara.
Beliau melihat sambutan berkenaan sebagai gambaran terhadap kemajuan Malaysia yang menurutnya sudah jauh berubah berbanding ketika negara baru mencapai kemerdekaan.








