'Sungai bukan tempat cucian najis', PHM tegur tindakan cemar sungai ketika ibadah korban | The Reporter

‘Sungai bukan tempat cucian najis’, PHM tegur tindakan cemar sungai ketika ibadah korban

Air sungai bertukar keruh apabila tercemar dengan sisa najis haiwan korban.
Pengendalian sisa korban perlu dilakukan dengan betul dan tanggungjawab. Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ibadah korban merupakan satu amalan mulia dan bentuk penyucian jiwa yang mengingatkan kita terhadap pengorbanan serta ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia juga membuka ruang untuk kita memberikan manfaat kepada masyarakat sekeliling, khususnya golongan yang memerlukan.

Namun begitu, kesucian ibadah ini dicemari oleh tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Public Health Malaysia, teguran diberikan kepada individu dan masyarakat yang membasuh najis serta perut lembu terus ke dalam sungai. Tindakan ini, menurut mereka, membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

Oleh itu, pengendalian sisa korban perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Perut dan usus haiwan tidak boleh dibasuh di sungai. Jarak sekurang-kurangnya 50 hingga 100 meter dari sungai, longkang atau sebarang sumber air awam perlu dipatuhi. Lubang najis atau tong khas perlu disediakan bagi menempatkan organ dalaman dan najis haiwan.

Setelah digunakan, lubang tersebut mestilah ditimbus atau ditutup dengan sempurna.

Menurut Public Health Malaysia sisa haiwan seperti darah, kulit atau organ buangan perlu dikumpulkan dalam plastik hitam yang tebal sebelum dihantar ke tapak pelupusan sah. Sekiranya mahu ditanam, pastikan lubangnya cukup dalam, jauh dari kawasan rumah dan sungai, serta tidak dibiarkan terbuka bagi mengelakkan ia dimakan haiwan liar.

Dalam hantaran tersebut turut dinyatakan bahawa sungai bukanlah tong sampah, dan pencemaran sungai boleh membawa kesan buruk kepada manusia sendiri.

“Sungai itu hidup. Ia bukan tong sampah. Dan setiap air yang mengalir akan sampai ke tubuh manusia juga, sama ada kepada kita sendiri atau anak kita nanti,” katanya.

Related Posts