Seorang wanita dari Shanghai berasa terkejut apabila suaminya meminta ujian paterniti selepas melihat bayi mereka yang baru lahir berkulit gelap.
Dalam usahanya untuk mencari sokongan dan nasihat, wanita berusia 30 tahun itu berkongsi masalahnya di media sosial.
Menurut wanita berkenaan, sebaik sahaja suaminya melihat bayi itu buat kali pertama, dia memandang dengan penuh kehairanan dan enggan memegang anak tersebut. Wanita itu mengakui dia sendiri merasa pelik dengan kulit anaknya yang lebih gelap dan menjelaskan dia tidak pernah ke Afrika atau mengenali orang berkulit hitam.
Suami wanita itu bukan sahaja tidak menunjukkan kegembiraan tetapi malah menuntut menjalani ujian paterniti untuk memastikan bayi itu adalah anaknya. Meskipun bersetuju dengan permintaan tersebut, wanita itu merasa bahawa kepercayaan antara mereka sudah mula terjejas.
Hantaran wanita itu menjadi tular, dan ramai memberikan jaminan bahawa fenomena kulit gelap pada bayi adalah perkara biasa.
Seorang pengguna yang mengaku pakar menjelaskan bahawa warna kulit gelap pada bayi boleh berlaku kerana tisu kulit bayi yang masih nipis serta peredaran darah yang lemah.
“Ini adalah fenomena yang sangat biasa,” kata seorang lagi pengguna, sambil menjelaskan warna kulit bayi akan bertukar lebih cerah dalam masa beberapa hari.
Beberapa netizen lain juga menyuarakan pandangan tentang sikap suaminya yang seakan hilang kepercayaan terhadap isterinya, dan menyarankan wanita itu untuk berbincang secara mendalam dengan suaminya selepas keputusan ujian paterniti diperolehi. – Agensi








