Pempengaruh terkenal Sofyank mencipta sejarah apabila mengumumkan bahawa beliau berkolaborasi dengan aktor terkenal Tom Cruise dalam sebuah projek video kesan visual khas (VFX). Kolaborasi luar biasa ini telah mencuri perhatian ramai, dan Sofyank sendiri mengakui bahawa dia berasa teruja dengan penggambaran ini.
Sofyank, yang dikenali melalui kandungan VFX kreatif di platform media sosial, kini berada di Tokyo bersama rakannya Shaffuan untuk projek besar yang menyaksikan kerjasama dengan Tom Cruise iaitu bintang terkenal yang telah membintangi filem-filem aksi blockbuster seperti Mission: Impossible dan Top Gun.
Dalam satu perkongsian di media sosial, Sofyank mengungkapkan perasaan berdebar sebelum penggambaran bermula walaupun persiapan telah dilakukan lebih awal.
“InsyaAllah esok, kalau tiada halangan, saya akan shoot satu video VFX bersama dengan Tom Cruise. Perasaan memang sangat ‘nervous’ menunggu detik untuk shooting esok, walaupun dah buat persiapan awal-awal, tapi masih lagi risau,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Sofyank turut meminta sokongan dan doa daripada pengikutnya agar proses penggambaran berjalan lancar.
Bagi peminat Sofyank kerjasama ini pastinya sesuatu yang tidak boleh dilepaskan. Meskipun masih dalam proses penggambaran, semua mata kini tertumpu pada kerjasama antara mereka berdua yang disifatkan sebagai satu peluang besar Sofyank dalam industri produksi antarabangsa.








