BN tegaskan tiada apa disembunyikan berhubung laporan RCI Tabung Haji | The Reporter

BN tegaskan tiada apa disembunyikan berhubung laporan RCI Tabung Haji

Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam program Barisan Nasional
Gambar: Facebook Zambry Abd Kadir

Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa tiada perkara yang cuba disembunyikan daripada rakyat, khususnya kira-kira 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), susulan pembentangan dan perbahasan khas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan institusi itu di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan RCI yang telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka dan dibahaskan Ahli Parlimen membuktikan proses ketelusan telah dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.

Menurut beliau, BN berpandangan laporan berkenaan perlu diteliti secara objektif berdasarkan fakta dan bukti, selaras dengan fungsi RCI sebagai mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang bagi menyiasat perkara berkepentingan awam.

Wajar diperluas ke tempoh lain

BN turut menegaskan bahawa skop RCI berkenaan hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020 dan justeru, penelitian menyeluruh terhadap sejarah tadbir urus TH wajar diperluaskan kepada tempoh-tempoh lain.

“Ini termasuk perkembangan dan keputusan selepas 2020 serta peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, BN berpandangan dapatan RCI berkaitan tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang perlu dijadikan asas untuk memperkukuh institusi TH, bukannya sebagai bahan untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.

BN turut menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, selain menegaskan transformasi institusi berkenaan perlu diteruskan secara konsisten.

Baca juga:
Sokongan laporan RCI didedahkan di Parlimen

Zambry berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas, selain mencadangkan penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang menyeluruh.

BN pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan kepentingan pendeposit dan mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai serta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.

“Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan, sebaliknya sebuah institusi umat Islam yang memikul amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji,” katanya.

Menurut BN, sidang khas Parlimen berhubung laporan RCI telah membuka ruang luas untuk penelitian awam dan tumpuan selepas ini seharusnya diberikan kepada pengukuhan tadbir urus TH, pelaksanaan sepenuhnya syor penambahbaikan serta pemeliharaan keyakinan pendeposit dan umat Islam terhadap institusi berkenaan.

Related Posts