Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan golongan suami supaya berhati-hati dalam melafazkan talak, termasuk lafaz berbentuk taklik di luar mahkamah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas babak dalam drama Suamiku Anak Mak yang menampilkan Emma Maembong dan Keith Foo, antara lain membabitkan lafaz talak bersyarat oleh watak Haris terhadap Zara.
Menurut beliau, dari sudut perundangan keluarga Islam di negara ini, lafaz talak seperti yang dipaparkan dalam babak berkenaan termasuk dalam kategori lafaz talak di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah.
Beliau menjelaskan, lafaz berkenaan berbeza dengan taklik berkanun yang lazimnya dilafazkan oleh suami selepas akad nikah sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam.
Hukuman buat suami
Sekiranya lafaz talak seperti dalam babak tersebut disahkan oleh mahkamah susulan pelanggaran syarat taklik apabila Zara keluar dari rumah, suami boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang keluarga Islam.
Mengambil contoh Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, kesalahan menceraikan isteri di luar mahkamah tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Jadi, para suami kena faham dan kena berhati-hati apabila melafazkan talak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa lafaz talak di luar taklik berkanun yang dibenarkan undang-undang boleh menyebabkan seseorang suami berdepan tindakan perundangan mengikut akta atau enakmen undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa.
Untuk rekod, drama Suamiku Anak Mak turut dibintangi Izzue Islam dan Dian P. Ramlee serta mula bersiaran di Astro Ria pada 26 Oktober lalu.








