Tindakan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan yang terlewat memasuki Dewan Rakyat kerana membantu tiga penduduk di kawasannya menguruskan masalah hutang mendapat pujian daripada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Kisah tersebut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi sebuah video yang memaparkan situasi ketika persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Kalam ketika menjelaskan kelewatannya berkata, beliau baru selesai menghantar tiga penduduk dari kawasan Parlimennya ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan berhubung masalah kewangan sehingga dikenakan tindakan mahkamah.
“Saya tadi menghantar tiga orang dari kawasan pergi ke bangunan AKPK untuk menguruskan masalah mereka yang telah dikenakan tindakan mahkamah kerana komitmen di bank.
“AKPK banyak membantu. Sebelum ini dah banyak saya hantar ke situ. Mereka daripada kampung, tak tahu nak datang, saya bawa ke situ dululah,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan individu yang dibantunya terdiri daripada pesara dan kontraktor yang berdepan kesukaran untuk membayar komitmen kewangan kepada pihak bank.
Penjelasan itu mendapat reaksi spontan daripada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang memuji keprihatinan beliau dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Bagus Yang Berhormat, seorang wakil rakyat yang bekerja dengan baik,” katanya sebelum memberikan peluang kepada Kalam untuk meneruskan perbahasan.
Sementara itu, Afnan Hamimi menerusi perkongsiannya menjelaskan bahawa tanggungjawab seseorang Ahli Parlimen bukan sekadar berbahas dan menyuarakan permasalahan rakyat di Dewan Rakyat, malah turut melibatkan urusan kebajikan masyarakat di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyifatkan Tindakan Kalam sebagai contoh baik seorang pemimpin yang mengutamakan nasib dan kebajikan rakyat di bawah tanggungjawabnya.








