Ong Kian Ming gesa perwakilan DAP undi ‘Leave’ pada Kongres Khas | The Reporter

Ong Kian Ming gesa perwakilan DAP undi ‘Leave’ pada Kongres Khas

Ong Kian Ming gesa perwakilan DAP pilih ‘Leave’ pada Kongres Khas DAP
Dr Ong Kian Ming menggesa perwakilan DAP memilih ‘Leave’ pada Kongres Khas DAP bagi memberi tekanan kepada kerajaan melaksanakan reformasi politik. Gambar: Malay Mail

ekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming menggesa lebih 4,000 perwakilan DAP supaya mengundi pilihan “Leave” pada Kongres Khas DAP, Ahad ini.

Ong berkata, pilihan berkenaan merujuk kepada cadangan supaya pemimpin DAP yang berada dalam Kabinet meletakkan jawatan, namun terus menyokong Kerajaan MADANI sebagai wakil rakyat penyokong kerajaan.

Beliau berkata, terdapat beberapa alasan untuk DAP memilih untuk kekal dalam Kabinet, antaranya bagi memastikan pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober depan berjalan lancar.

Menurutnya, keputusan untuk kekal dalam kerajaan juga boleh membantu memastikan kestabilan dasar dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi susulan dasar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, khususnya perkembangan di Timur Tengah.

Selain itu, Ong berkata DAP mungkin tidak mahu memberi peluang kepada BN atau UMNO menarik sokongan daripada Kabinet dan kerajaan sehingga berpotensi mencetuskan pilihan raya umum lebih awal.

Tekanan kepada Perdana Menteri

Bagaimanapun, beliau berpandangan hanya terdapat satu alasan kukuh untuk perwakilan DAP memilih ‘Leave’, iaitu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian reformasi politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ong mendakwa Anwar hanya bertindak apabila berdepan tekanan kuat, sama ada daripada individu, kumpulan, organisasi atau keadaan politik tertentu.

Katanya, keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk mengadakan Kongres Khas itu pada asalnya bertujuan mengingatkan Perdana Menteri bahawa DAP mempunyai pengaruh untuk menggunakan kedudukannya dalam Kabinet sebagai tekanan bagi menuntut pelaksanaan reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut merujuk beberapa perkembangan politik kebelakangan ini yang didakwanya bercanggah dengan agenda reformasi asal PH, termasuk tiada tindakan lanjut terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, isu peruntukan kawasan Parlimen bagi Ahli Parlimen PKR yang dilihat menyokong Rafizi Ramli serta penahanan dua penulis blog, Bryan Kong dan Shamsul Saad.

Baca juga:

Menurut Ong, sekiranya majoriti perwakilan memilih ‘Remain’, ia akan memberi isyarat bahawa DAP bersedia untuk terus menyokong kerajaan sehingga tamat tempoh Parlimen ini walaupun tiada reformasi politik substantif dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun berkata, jika perwakilan memilih ‘Leave’, pemimpin DAP masih mempunyai ruang untuk berunding dengan Anwar mengenai masa peletakan jawatan anggota Kabinet parti itu.

Antaranya, kata Ong, DAP boleh mencapai persetujuan supaya peletakan jawatan hanya dibuat selepas Belanjawan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember depan.

Perubahan perundangan penting

DAP juga boleh menggunakan tempoh berkenaan untuk berunding mengenai beberapa perubahan perundangan penting, termasuk cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dan akta berkaitan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen.

“Saya berharap para perwakilan DAP akan membaca mesej ini dan mengundi ‘Leave’, bukannya memilih untuk ‘Remain’,” katanya.

Kongres Khas DAP dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini, dengan lebih 4,000 perwakilan layak mengambil bahagian dalam pengundian berhubung kedudukan pemimpin parti dalam Kabinet.

Related Posts