Pelajar Maahad Pengajian Islam (MPI) Kelantan, Muhammad Esyhan Izz Rifqi Badaliza, mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas pada Kejohanan Jemputan Taekwondo Antarabangsa ITF 2026 di Loudi, China.
Esyhan cemerlang dalam tiga acara yang disertainya iaitu Team Pattern, Individual Pattern, Individual Sparring dan Team Sparring sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di bumi China sebagai simbol pencapaian pasukan negara dalam kejohanan berkenaan.
Pencapaian itu menjadi kebanggaan warga MPI, selain membuktikan kemampuan atlet muda tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Pihak sekolah menyifatkan kejayaan Esyhan sebagai hasil disiplin, kesungguhan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Kejayaan berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan yang merakamkan ucapan tahniah kepada Esyhan atas pencapaian cemerlang tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata kejayaan itu wajar dibanggakan.
Beliau turut berharap pencapaian Esyhan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Kelantan untuk berani mengharumkan nama negeri ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, warga pendidik MPI turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Esyhan selain menghargai sokongan ibu bapa serta jurulatih yang membimbingnya.
Pencapaian tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan buat Esyhan, keluarga dan pihak sekolah, malah membuktikan bakat anak Kelantan mampu menyerlah di pentas antarabangsa.








