Sunway raih pensijilan 'Great Place To Work' dua tahun berturut-turut | The Reporter

Sunway raih pensijilan ‘Great Place To Work’ dua tahun berturut-turut

Sebanyak 93% kakitangan yang mengambil bahagian dalam kaji selidik terbaharu menyifatkan Sunway Group sebagai tempat kerja yang baik, meningkat ketara berbanding 78% pada tahun lalu.

Pencapaian itu membolehkan Sunway menerima Pensijilan Great Place To Work (GPTW) bagi tahun kedua berturut-turut, melibatkan tenaga kerjanya yang melebihi 20,000 orang merentasi 13 bahagian perniagaan.

Kumpulan berkenaan mempunyai tenaga kerja dalam pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, hartanah, peruncitan, hospitaliti dan taman tema.

Skor meningkat daripada 78% kepada 93%

Dapatan terbaharu turut menunjukkan peningkatan dalam pengalaman awal kakitangan apabila 97% responden berkata mereka berasa dialu-alukan ketika menyertai Sunway, berbanding 86% pada 2025.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Sunway Group, Clayton Tan berkata, pensijilan berkenaan amat bermakna kerana ia mencerminkan pandangan kakitangan sendiri mengenai pengalaman bekerja dalam kumpulan tersebut.

“Ini bukan apa yang kami katakan mengenai diri sendiri, sebaliknya apa yang dinyatakan oleh warga kerja kami.

“Ia menunjukkan kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh budaya tempat kerja sejak beberapa tahun lalu. Namun, kami melihatnya sebagai satu penanda aras dan akan terus berusaha memastikan semua warga Sunway berasa disokong serta dihargai,” katanya.

Maklum balas sulit tentukan pensijilan

Pensijilan GPTW ditentukan menerusi maklum balas sulit kakitangan dalam kaji selidik Trust Index, bukannya penilaian panel hakim. Responden diminta memberikan pandangan terhadap 60 pernyataan piawai yang dibangunkan berasaskan penyelidikan.

Sesebuah organisasi perlu memperoleh skor keseluruhan Trust Index sekurang-kurangnya 65% untuk menerima pensijilan tersebut. Pensijilan itu sah selama 12 bulan dan organisasi perlu menjalani penilaian semula untuk diperakui pada tahun berikutnya.

GPTW turut menerbitkan kajian kes khusus mengenai budaya kerja Sunway, sekali gus menjadikannya satu-satunya syarikat Malaysia yang diketengahkan menerusi kajian seumpama itu di laman web GPTW Malaysia.

Menurut kajian tersebut, pernyataan yang menerima skor tertinggi ialah “Saya berbangga memberitahu orang lain bahawa saya bekerja di sini”, dengan 86% kakitangan bersetuju.

Kadar keluar kakitangan semakin menurun

Kadar keluar kakitangan Sunway pula menurun daripada 23.69% pada 2022 kepada 13.98% pada 2025. Komposisi tenaga kerjanya juga menghampiri nisbah jantina 50:50 serta mencerminkan kepelbagaian etnik Malaysia sehingga ke peringkat lembaga pengarah dan kepimpinan kanan.

Antara kemudahan yang disediakan kepada kakitangan ialah pusat jagaan kanak-kanak Sunway Little Sunshine, Program Bantuan Pekerja yang menawarkan kaunseling kesihatan mental secara percuma dan sulit serta aturan kerja fleksibel.

Sunway sebelum ini turut menerima beberapa pengiktirafan berkaitan pekerjaan termasuk Life At Work Awards pada 2024 dan 2025 serta Anugerah Emas Majikan Terbaik pada HR Excellence Awards 2023.

Pada Talentbank Graduates’ Choice Awards 2024, Sunway diiktiraf sebagai antara satu peratus majikan terkemuka di Malaysia, selain mencatat kemenangan bagi tahun kelima berturut-turut.

Related Posts