Bagi pemain industri makanan dan minuman (F&B), mencari pembekal yang tepat, meneroka teknologi baharu atau membina rangkaian perniagaan sering memerlukan masa yang panjang. Namun semuanya boleh dilakukan di satu lokasi apabila Malaysian International Food & Beverage Trade Fair (MIFB) 2026 kembali berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 15 hingga 17 Julai, menghimpunkan lebih 520 pempamer dari lebih 85 negara di bawah satu bumbung.
Lebih menarik, pendaftaran perdagangan adalah percuma dan turut memberikan akses ke dua acara serentak iaitu Malaysia Café Expo (MCE) dan MyFoodTech Exhibition (MYFT). Sama ada anda mengusahakan restoran, kafe, kilang makanan, rangkaian runcit atau perniagaan import, tiga hari ini menawarkan peluang untuk bertemu rakan niaga, pembekal serta pemain industri dari seluruh dunia tanpa perlu ke luar negara.
Dengan jangkaan kehadiran melebihi 13,000 pengunjung perdagangan dan ruang pameran seluas lebih 15,000 meter persegi, MIFB bukan sekadar pameran produk. Ia menjadi platform lengkap yang menghimpunkan keseluruhan rantaian industri F&B, daripada bahan mentah, makanan dan minuman, produk halal, makanan sejuk beku, teknologi pemprosesan, automasi sehinggalah penyelesaian pembungkusan moden.
Tiga pameran, satu pas perdagangan
MIFB 2026 berlangsung bersama Malaysia Café Expo (MCE) dan MyFoodTech (MYFT), membolehkan pengunjung meneroka tiga segmen utama industri menggunakan hanya satu pas perdagangan percuma. MIFB memberi tumpuan kepada produk makanan dan minuman serta pasaran halal, MCE mengetengahkan dunia kopi, bakeri dan kelengkapan kafe, manakala MYFT memfokuskan kepada teknologi pemprosesan makanan, automasi dan pembungkusan.
Gabungan tiga pameran ini memudahkan pemilik perniagaan membuat perbandingan produk, mencari pembekal baharu dan melihat sendiri trend yang sedang membentuk masa depan industri. Daripada produk Ready-to-Eat, Ready-to-Cook dan Ready-to-Drink hinggalah pavilion antarabangsa dari China, India, Poland dan Korea Selatan, semuanya tersedia dalam satu lokasi.
Lebih 25 tahun memperkasakan industri
MIFB yang kini memasuki lebih 25 tahun penganjuran terus menjadi antara platform perdagangan F&B terbesar di rantau ini. Majlis pembukaan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin, dengan tema tahun ini “Future-Ready F&B: Powering the Next Wave”, yang memberi fokus kepada cabaran rantaian bekalan global serta kesiapsiagaan industri menghadapi perubahan masa depan.
Selain ruang pameran, pengunjung turut berpeluang mengikuti pelbagai program ilmu yang dikendalikan oleh usahawan, pakar industri dan jenama terkenal yang berkongsi pengalaman sebenar membangunkan perniagaan.

Belajar terus daripada pemain industri
Sepanjang tiga hari penganjuran, MIFB Knowledge Hub menampilkan sesi perkongsian yang menyentuh pelbagai aspek penting dunia F&B. Hari pertama memberi tumpuan kepada penggunaan AI dan pendigitalan untuk meningkatkan kecekapan operasi, manakala hari kedua memfokuskan kepada strategi membina dan mengembangkan jenama bersama pengasas Toast Maker, Subway, Dao Desserts, Supergulp dan PurelyB.
Hari terakhir pula mengetengahkan Export Masterclass, termasuk peluang memahami potensi pasaran halal global bernilai USD7 trilion, selain perkongsian mengenai strategi membawa produk tempatan ke pasaran antarabangsa. Turut tampil ialah Chef Alan Coxon yang berkongsi pengalaman lebih empat dekad membina jenama dalam industri makanan.

Pentas buat pencinta kopi
Bagi komuniti kopi, Malaysia National Coffee Championship (MNCC) sekali lagi menjadi antara acara paling dinanti. Kejohanan yang dianjurkan bersama Malaysia Specialty Coffee Association (MSCA) ini bukan sahaja mencari juara kebangsaan, malah menjadi laluan wakil Malaysia ke pentas World Coffee Championships.
Pengunjung juga berpeluang bertemu dua nama yang mengharumkan negara di pentas dunia, iaitu Nas Jaafar, juara World Brewers Cup 2026, dan Jacky Chang, naib juara World Latte Art Championship 2026, menerusi sesi eksklusif Meet & Greet di MNCC Mainstage pada 17 Julai, jam 4.30 petang.
Peluang mencari rakan niaga baharu
Selain sesi perkongsian ilmu, MIFB turut menawarkan pelbagai inisiatif seperti MIFB Connect, Buyer Programme dan Launchpad, yang menghubungkan pempamer dengan pembeli serta pelabur berpotensi. Pengunjung juga boleh menyertai demonstrasi masakan di ChefTable, menghadiri sesi ringkas MIFB Talk dan mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal menerusi MIFB HalalHub.
MIFB, MCE dan MYFT 2026 dibuka khusus kepada pemain industri dan pengunjung perdagangan. Pendaftaran adalah percuma dan boleh dilakukan lebih awal bagi memudahkan urusan kemasukan ke acara.








