Catcha Digital Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan keuntungan bersih terlaras selepas kepentingan bukan kawalan (adjusted PATAMI) sebanyak 128 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Syarikat itu merekodkan adjusted PATAMI RM2.85 juta berbanding RM1.25 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Pada masa sama, hasil turut melonjak 177 peratus kepada RM26.27 juta, manakala adjusted EBITDA meningkat 215 peratus kepada RM5.73 juta.
Segmen media digital pacu pertumbuhan
Prestasi kukuh itu dipacu terutamanya oleh segmen media digital yang menyumbang RM25.64 juta daripada keseluruhan hasil kumpulan.
Jumlah itu meningkat 178 peratus berbanding suku sama tahun lalu, selain mencatat adjusted EBITDA RM7.02 juta dan adjusted PATAMI RM3.93 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Catcha Digital, Eric Tan berkata suku pertama FY2026 menjadi pencapaian penting buat kumpulan itu apabila perniagaan yang diperoleh sepanjang tahun lalu mula memberi kesan positif kepada pertumbuhan keseluruhan.
Beliau berkata Catcha Digital akan terus menumpukan strategi pertumbuhan organik dan pengambilalihan secara berdisiplin bagi mengukuhkan operasi jangka panjang.
Pengambilalihan MIFB tambah kekuatan sektor pameran
Dalam suku sama, Catcha Digital melengkapkan pengambilalihan ExpoCO Sdn Bhd, penganjur Malaysian International Food and Beverage Trade Fair (MIFB), menerusi anak syarikat One International Exhibition Sdn Bhd.
Langkah itu memberi kumpulan berkenaan pegangan efektif 60 peratus dalam MIFB dan memperkukuhkan cabang pameran perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama Agri Malaysia dan MBAM OneBuild.

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata lapan pengambilalihan yang selesai dalam tempoh 15 bulan lalu dijangka memberi sumbangan penuh kepada prestasi syarikat sepanjang FY2026.
Kedudukan tunai kekal kukuh
Setakat 31 Mac 2026, Catcha Digital memiliki tunai dan setara tunai sebanyak RM24.4 juta.
Kumpulan itu turut mempunyai kemudahan kredit pusingan RM35 juta yang disifatkan mampu menyokong rancangan pengembangan serta penilaian peluang baharu dalam sektor media digital, pameran B2B dan penyelesaian teknologi maklumat.








