Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kata orang, sejauh negara mana pun kita dicampakkan, sudah pastinya akan merindui masakan di Malaysia. Apatah lagi, apabila menu negara luar tidak kena dengan selera kita.
Tapi tidak menjadi masalah bagi lelaki ini yang dikenali sebagai Fikri Akram apabila berada jauh di perantauan.
Dalam perkongsian di TikTok, pelbagai menu yang disiapkan Fikri untuk dibawa ke pejabatnya di Korea. Bukan hanya untuk bekal dirinya sahaja, malahan dia berkongsi juadah air tangannya sendiri bersama rakan sekerja dan majikannya.
Apa yang menarik, Fikri juga mengajar rakan-rakan sekerja makan dengan menggunakan tangan. Mula-mula mereka kelihatan janggal, namun lama kelamaan mereka sangat gembira menikmati juadah disediakan Fikri dengan menggunakan tangan.
Bukan menu biasa, tetapi juadah yang boleh dikatakan sukar, mampu dimasak oleh Fikri. Antaranya, nasi dagang, roti jala, nasi kuning Sabah, sup tulang dan bermacam-macam lagi.
Sikap yang wajar juga dipuji apabila rakan sekerja Fikri sama-sama membersihkan meja makan selepas siap menjamu selera.
Susulan itu, ramai yang memuji sikap Fikri yang rajin menjamu rakan sekerja dan secara tidak langsung juga memperkenalkan budaya dan makanan Malaysia ke negara luar.