Seorang wanita di Taiwan menjadi perhatian ramai selepas ‘kantoi’ membawa pulang barangan dari bilik hotel yang dianggarkan bernilai lebih RM600, termasuk alat pengering rambut dan minuman beralkohol.
Melalui hantaran di Facebook, vlogger Fabian berkongsi tangkap layar perbualan antara wanita berkenaan dengan pemilik hotel di China. Pemilik tersebut terdahulu bertanya dengan sopan mengenai kehilangan beberapa barang dari bilik hotel itu.
Wanita itu menjelaskan, dia menyangka semua barangan dalam bilik hotel tersebut adalah percuma, termasuk minuman keras yang keseluruhannya bernilai lebih RMB1,000 (sekitar RM610). Selepas menyedari kesilapannya itu, dia bersetuju untuk membayar ganti rugi.
Selain itu, tetamu tersebut juga mengaku mengambil mesin kopi dan dihadiahkan kepada rakannya. Kelengkapan mandian hotel juga turut dibawa pulang.
“Saya ingat semua barang dalam bilik memang untuk tetamu bawa balik.”
Pemilik hotel kemudian meminta nombor telefonnya agar pihak pengurusan boleh menghubunginya dan wanita itu memberikan kerjasama dengan baik.
Justeru, Fabian menasihatkan orang ramai, “Kalau tak pasti barang apa yang boleh dibawa balik, bertanyalah dulu dengan kakitangan hotel. Jangan main ambil saja.”
Sumber: World of Buzz








