Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini berlangsung acara Honda Day Malaysia 2024 yang menarik perhatian ramai, namun bukan kerana kehebatan acara tersebut, tetapi kerana hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan.
Ramai netizen yang tidak berpuas hati apabila hadiah utama, sebuah Honda Accord SM4, diberi kepada pemenang dalam keadaan kusam, sekali gus menjadi bahan troll di media sosial.
Hadiah utama kereta terpakai?
Penganjur acara tersebut dikecam kerana menawarkan hadiah yang dianggap tidak sepadan dengan keuntungan lumayan yang diperoleh daripada jualan t-shirt kepada peserta. Tambahan pula, peserta terpaksa menunggu sehingga tengah malam untuk cabutan bertuah tersebut, hanya untuk kecewa dengan keadaan hadiah yang diterima.
“Buat malu je selimut bagai. Tak payah selimut la kalau cuma kereta terpakai. Malu woi! Aku yang tengok ni pun malu. Kereta usia 32 tahun,” kata netizen.
Situasi ini menyebabkan perbandingan dengan acara lain seperti Yamaha RX-Z dan pertandingan memancing yang menawarkan hadiah yang lebih baik. Netizen menyatakan penganjur sepatutnya lebih peka dan menghargai peserta dengan hadiah yang lebih berkualiti.
“Memalukan Honda. Perhimpunan RXZ member boleh je bagi hadiah Toyota Vellfire,” kata netizen.
Remy Ampang mohon maaf
Rentetan segala tohmahan dan kecaman itu, seorang individu bernama, Remy Ampang, yang dipercayai salah seorang penganjur acara tersebut telah tampil menjelaskan di sebalik cerita mengenai pemberian hadiah tersebut.
Menurut Remy, hadiah utama yang ditawarkan itu sebenarnya adalah hasil sumbangan daripada seorang peminat Honda yang ingin menyokong acara Honda Day 2024.
Jelasnya, penganjur tidak mempunyai niat untuk mengecewakan para peserta, tetapi terpaksa menerima sumbangan tersebut kerana kekangan bajet. Penganjur juga telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan acara berjalan lancar dan menghiburkan semua yang hadir.

“Saya bersama semua kru-kru HDM ingin memohon maaf kepada semua berkaitan dengan hadiah grand prize semalam.
“Untuk makluman, hadiah kereta tersebut telah ditaja oleh Black Mafia Garage, Batu Pahat, Johor kepada kami. Hadiah tersebut telah sampai kepada kami seminggu sebelum tarikh event dan kami dalam keadaan kelam kabut dan tak sempat masa untuk ‘mengelokkan’ dan mencari ganti yang lain.
“Walau bagaimanapun, demi menjaga nama baik Honda Day Malaysia, dalam masa terdekat ini pihak kami akan menghantar balik yagn lain ke rumah pemenang.
“Sekali lagi saya Remy Ampang dan semua kru-kru memohon maaf dan akan memperbaiki kelemahan dan kekurangan kami pada masa akan datang,” katanya.








