Remaja 13 tahun mengaku bersalah bakar anak kucing hidup-hidup - The Reporter

Remaja 13 tahun mengaku bersalah bakar anak kucing hidup-hidup

Tertuduh | Foto : Suraya Roslan (Harian Metro)

Seorang remaja berusia 13 tahun mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan di Mahkamah Majistret Kajang, semalam. Tertuduh didakwa membakar seekor anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri minggu lalu.

Tertuduh yang merupakan anak tunggal, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Dia didakwa bersama-sama dua lagi rakannya yang masih bebas, dan mereka didakwa telah menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan cara yang sangat kejam.

Mengikut fakta kes, kejadian tersebut berlaku pada jam 1.08 petang, 22 April lalu, di sebuah pangsapuri di sini.

Tertuduh didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar, memohon jaminan RM10,000 kerana kesalahan tersebut membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.

Namun, ibu remaja berkenaan yang berusia 30 tahun dan berstatus ibu tunggal, memohon agar ikat jamin dikurangkan kerana dia hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!