'Saya tidak ada RM20K, kerja jaga stor kilang' - Pemandu mabuk mengaku tidak bersalah langgar atlet kayak - The Reporter

‘Saya tidak ada RM20K, kerja jaga stor kilang’ – Pemandu mabuk mengaku tidak bersalah langgar atlet kayak

Foto: Orang Awam

Seorang pembantu penyelia kilang, R Dhinesh, 31, telah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak negara.

Tertuduh, Dhinesh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Dhinesh didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar alkohol dalam badan yang melebihi had yang ditetapkan sehingga melanggar Siti Nurul Masyitah Md Elias di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), kira-kira jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu.

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri selama beberapa hari selepas kejadian. Dia mengalami retak bahu kanan, tulang pinggul dan luka di bahagian kaki. Keadaannya kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.

Dhinesh didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000. Lesen memandunya juga boleh dibatalkan dan boleh hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, S Vikineswary, manakala Dhinesh tidak diwakili peguam.

Siti Nurul Masyitah Md Elias (Kanan)
Kereta dipandu tertuduh
Keadaan helmet mangsa selepas diseret beberapa meter

Terdahulu pegawai pendakwa memohon jaminan RM20,000 dengan seorang pejamin dikenakan terhadap tertuduh dan lesen memandunya digantung sehingga selesai kes, serta melaporkan diri ke Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Namun, tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia hanya bekerja sebagai pembantu penyelia kilang dengan gaji kurang dari RM2,000 sebulan.

Saya tidak ada RM20,000 dan tidak mampu bayar jaminan tinggi kerana kerja jaga stor kilang sahaja. Saya juga perlu tanggung ayah selepas kematian ibu,” katanya.

Majistret kemudian mengenakan jaminan RM8,000 dengan dua syarat tambahan lain, serta menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Sumber: Buletin TV3

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!