MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia | The Reporter

MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia

MMN menolak kemasukan terbuka jururawat Indonesia dan menggesa kajian menyeluruh demi keselamatan pesakit dan peluang graduan tempatan.
Gambar janaan AI

Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) menyatakan pendirian tegas menolak cadangan kemasukan secara terbuka jururawat dari Indonesia bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja kesihatan di Malaysia, sekiranya ia dilaksanakan tanpa kajian mendalam dan menyeluruh terlebih dahulu.

Menurut MMN, cadangan tersebut perlu diteliti daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pesakit, kualiti penjagaan kesihatan, serta kestabilan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.

Dalam kenyataan itu, MMN menegaskan bahawa penolakan tersebut bukan bersifat prejudis terhadap profesional kesihatan Indonesia, sebaliknya berpaksikan kepada keutamaan menjaga standard perkhidmatan kesihatan di negara ini. Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan termasuk perbezaan standard latihan kejururawatan, kelayakan akademik, protokol klinikal, serta penguasaan bahasa Melayu dan dialek tempatan yang boleh mempengaruhi keberkesanan komunikasi dengan pesakit.

Graduan jururawat di Malaysia

MMN turut menegaskan bahawa Malaysia masih mempunyai ramai graduan kejururawatan tempatan yang belum mendapat penempatan tetap sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. Justeru, keutamaan seharusnya diberikan kepada tenaga kerja tempatan terlebih dahulu sebelum membuka ruang lebih luas kepada pengambilan jururawat asing.

“Pengambilan secara besar-besaran tanpa perancangan rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan warganegara serta membebankan sistem latihan adaptasi tempatan,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:
Kajian terperinci

Sehubungan itu, MMN menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya meneliti dengan lebih terperinci setiap implikasi termasuk aspek undang-undang, etika profesional, sosioekonomi dan keselamatan pesakit sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

MMN turut mencadangkan agar satu kajian impak menyeluruh dilaksanakan, termasuk perbandingan kompetensi secara terbuka serta mekanisme pemantauan dan penilaian berkala yang ketat sekiranya kemasukan tenaga kerja asing itu benar-benar diperlukan.

Tambahnya lagi, jika dilaksanakan, pengambilan tersebut wajar bersifat sementara, terhad dari segi jumlah, serta tertakluk kepada syarat lesen sementara yang ketat.

“Kesimpulannya, MMN menegaskan bahawa kebajikan pesakit, maruah profesion kejururawatan tempatan, dan peluang pekerjaan rakyat tidak wajar dikompromi demi menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja secara jangka pendek,” katanya.

Related Posts