Seorang lelaki dari Johor berkongsi pengalaman peribadinya tinggal di Terengganu selama lebih dua bulan, selepas pulang dari Australia, yang membuka ruang untuknya memahami kehidupan masyarakat Melayu secara lebih dekat dan mendalam.
Sepanjang berada di Terengganu, Vchew Oh tinggal bersama seorang lelaki warga emas Melayu yang dianggap seperti pakcik angkat. Dalam tempoh itu, dia bukan sahaja berkongsi rutin harian seperti makan, minum dan berbual bersama, malah turut belajar tentang nilai kehidupan, adat serta budaya masyarakat setempat.
Vchew Oh yang berasal dari Johor berkata, pengalaman tersebut memberikan perspektif baharu terhadap kehidupan masyarakat Melayu dan Islam, termasuk pemahaman lebih mendalam tentang ibadah korban dan makna Hari Raya Aidiladha.
Pengalaman sukar dilupakan
Selain itu, dia turut berpeluang menyaksikan sendiri proses pengurusan jenazah dalam Islam, sesuatu yang disifatkannya sebagai pengalaman yang sukar diperoleh hanya melalui pembacaan atau media sosial. Pengalaman tersebut, katanya, memberi kesan mendalam terhadap cara dia melihat kehidupan, kematian dan nilai kemanusiaan.
“Pengalaman seperti ini sukar untuk dipelajari hanya melalui buku, media sosial atau cerita daripada orang lain. Ia perlu dilihat, didengar dan dirasai sendiri,” katanya.
Baca juga:
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
- MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia
Sifat terbuka
Menurutnya, interaksi bersama komuniti setempat di Terengganu turut memperlihatkan sifat keterbukaan masyarakat yang sudi berkongsi ilmu, pengalaman dan kisah kehidupan tanpa mengira latar belakang bangsa serta agama.
“Walaupun berbeza agama, budaya dan bangsa, kami tidak pernah rasa jauh. Kami makan bersama, berbual bersama dan berkongsi kehidupan seperti keluarga sendiri,” katanya.
Vchew menambah, keputusan untuk menetap sementara di Terengganu bukan sekadar untuk melancong, sebaliknya sebagai usaha untuk memahami kehidupan masyarakat secara lebih realistik dan menyeluruh selepas kembali dari Australia.
Pengalaman itu, katanya, menjadikan dia lebih menghargai nilai perpaduan dan kemanusiaan, serta akan dikenang sebagai antara pengalaman paling bermakna dalam hidupnya.
“Terima kasih, negeri yang bahagia,” katanya menutup perkongsian.









