Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, memainkan peranan penting dalam diet harian kita sebagai sumber karbohidrat utama. Namun, ada sesetengah individu yang memilih untuk menikmati nasi putih tanpa lauk, suatu amalan yang mungkin menimbulkan kehairanan di kalangan masyarakat.
Sebuah video yang tular di TikTok baru-baru ini menunjukkan seorang remaja perempuan yang memilih untuk makan nasi kosong tanpa berlauk. Menurut ibunya, Attyra Saari berkata, anaknya telah mengamalkan gaya pemakanan itu sejak dari kecil lagi.
“Dari lahir sampai besar panjang, entah bilalah agaknya dia nak makan normal macam orang lain,” tulisnya pada kapsyen video tersebut.
Meninjau di ruangan komen, netizen turut berkongsi pengalaman serupa.
“Anak buah saya macam ni lah. Nasi kosong je dia telan. Kalau letak kuah ke, lauk ke, memang dia tak sentuh dah,” kata Ria.
“Saya sendiri pun masa kecik-kecik, makan nasi putih kosong je. Selepas umur 20 tahun, baru start makan nasi dan lauk-lauk sikit,” tambah Fatyn.
Baik atau buruk untuk tubuh badan?
Dari segi nutrisi, nasi putih memang merupakan sumber karbohidrat yang baik. Namun, ia tidak mengandungi banyak serat, vitamin dan mineral yang biasanya ditemui dalam lauk-pauk. Walaupun makan nasi kosong boleh memberi tenaga, ia mungkin tidak memberikan nutrisi seimbang yang diperlukan oleh tubuh.
Dalam kata lain, amalan makan nasi kosong tanpa lauk mungkin tidak membahayakan, tetapi juga tidak memberikan manfaat nutrisi penuh. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan diet seimbang dengan mengambil pelbagai jenis makanan, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan protein.