Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
“Rehatlah abah, dunia terlalu kejam untukmu,” luah Nurul Farhana, anak kepada mangsa kejadian lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di tapak pasar tani di Kemaman, menerusi satu hantaran di TikTok.
Baca: Tiga lelaki ditahan, kes lelaki OKU dipukul di pasar tani dan Lelaki OKU dipukul, diheret di pasar tani, polis cari suspek terlibat
Menurut Nurul Farhana, bapanya kini sedang menerima rawatan di Hospital Terengganu selepas kejadian yang menimpanya.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan ayah saya dan yang ingin menolong keluarga kami. Kami sekeluarga sangat menghargainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, netizen turut meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarganya. Banyak pihak menyeru agar keluarga mangsa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
“Dik, akak nak pesan. Jangan tarik report kalau diorang datang merayu dan meminta maaf. Biar lawan kes sehabis-habisnya, sampai diorang mendapat balasan yang setimpalnya,” tulis seorang pengguna bernama Chaaneed.
“Jangan tarik report dik. Diorang langsung tak hormat ayah adik. Jaga maruah keluarga tau! Akak dah tak ada ayah, sedih bila tengok seorang individu bergelar ayah diperlakukan macam tu,” tambah seorang lagi pengguna, Nurul Ain.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki OKU kategori mental dipukul dan diheret oleh beberapa individu di tapak jualan Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas motosikal mangsa secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai jualan, sehingga mencetuskan kemarahan beberapa individu.