Lelaki OKU dipukul, diheret di pasar tani, polis cari suspek terlibat - The Reporter

Lelaki OKU dipukul, diheret di pasar tani, polis cari suspek terlibat

Lelaki OKU dipukul di pasar tani
Video kejadian tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental telah menjadi mangsa serangan fizikal oleh beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman.

Kejadian tersebut berlaku selepas mangsa secara tidak sengaja terlanggar sebuah gerai jualan semasa menunggang motosikal. Kemudian berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dengan beberapa individu di lokasi sebelum dia dipukul secara beramai-ramai.

Mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, pemegang kad OKU mental, disahkan mengalami kecederaan akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu.

Menurut saksi, kejadian bermula apabila motosikal mangsa memasuki kawasan pasar tani dan secara tidak sengaja melanggar gerai sehingga menyebabkan barangan jualan terjatuh. Insiden itu dipercayai mencetuskan kemarahan peniaga hingga membawa kepada serangan tersebut.

Polis kesan individu pukul mangsa

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Ja’far, berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian ini pada Jumaat pagi.

“Mangsa, seorang lelaki berusia 47 tahun, mengalami kecederaan akibat dipukul oleh beberapa individu. Dia telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Kejadian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas video berdurasi hampir dua minit yang menunjukkan mangsa diserang menjadi tular. Selain itu, saksi di lokasi memaklumkan bahawa Ahmad Nor Al Faizan mempunyai kad OKU dan dikatakan sering mengunjungi pasar tersebut.

Pihak polis kini sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam insiden ini untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-859 2222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu, terutama terhadap individu yang mungkin mempunyai masalah kesihatan mental.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!