Pas mendakwa mengadakan rundingan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua parti sedang diteruskan selepas usaha kerjasama politik antara kedua-duanya pernah dilakukan sebelum ini bagi mengambil alih kerajaan negeri melalui akuan bersumpah (SD).
Abdul Hadi berkata usaha tersebut bagaimanapun tidak berjaya selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik diri, namun BN ketika itu tidak berbuat demikian.
“Ketika itu BN tidak menarik diri. Itu menunjukkan ada ruang untuk kita bekerjasama sejak awal lagi. Bagi menghadapi PRN ini, proses perbincangan masih sedang berjalan dan ia adalah sangat positif,” katanya.
Baca juga:
- PRN Negeri Sembilan: Pas akui rundingan kerjasama dengan BN sedang berjalan
- ‘Dulu kami bukan undi DAP, undi UMNO pun kata kafir’ – Mohamad Sabu
- MB Perlis letak jawatan Ahli MPT Bersatu, fokus tadbir negeri hingga tamat penggal
Beliau berkata, Pas pada dasarnya bersetuju BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, manakala Pas akan kekal bertanding di tiga kerusi yang kini disandang parti itu.
“Bagi baki 17 kerusi lagi, ia akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti terbabit. BN sudah mendapat 14 kerusi dan kita lima kerusi (termasuk dua kerusi Bersatu), yang baki itu kita akan bahagikan,” katanya sambil memaklumkan BN dilihat masih mendominasi politik Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata Pas tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan diberikan kepada BN, dengan syarat calon yang dipilih adalah dalam kalangan Melayu-Islam.
Beliau turut memaklumkan keputusan mengenai penggunaan logo pada PRN kali ini masih belum dimuktamadkan sama ada Pas akan menggunakan logo sendiri atau logo Perikatan Nasional (PN).
Sumber: Sinar Harian, YouTube Abdul Hadi Awang









