Polis siasat kes penipuan tanah RM1.5 juta libatkan pelakon wanita dan suami | The Reporter

Polis siasat kes penipuan tanah RM1.5 juta libatkan pelakon wanita dan suami

Polis siasat kes penipuan melibatkan pelakon wanita dan suami.
Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis daerah Seremban kini sedang menyiasat satu kes penipuan berkaitan urusan penjualan tanah lot kurniaan di Negeri Sembilan yang dipercayai melibatkan seorang pelakon wanita dan suaminya, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata laporan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki berusia 56 tahun pada 7 Januari lalu.

“Wanita itu bersama suaminya dipercayai suspek dalam satu kes penipuan di daerah ini melibatkan penjualan tanah kurniaan Negeri Sembilan yang tidak wujud, menyebabkan kerugian RM1.5 juta,”katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, Azahar memaklumkan polis tidak menerima sebarang laporan yang mengaitkan pelakon berkenaan dengan kes penipuan barangan kosmetik seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa tindakan awal telah diambil kerana kedua-dua suspek dipercayai tidak berada di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan maklumat terkini, pasangan terbabit dikatakan berada di Sarawak.

“Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan mengesan dan menangkap mereka,” kata Azahar.

Baca juga:

Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan pelakon wanita berkenaan dan suaminya. Menurut wanita itu, dia telah ditipu sebanyak RM300,000, manakala mangsa lain dikatakan kerugian sehingga berjuta-juta ringgit.

“Kepada pelakon wanita drama ini dan suami dia yang menipu ramai duit orang… termasuk saya kena tipu RM300,000. Ada yang sampai berjuta-juta. Ramai dah buat laporan polis pasal korang,” tulis wanita itu di thread media sosial dan menyifatkan pasangan terbabit sebagai kaki scammer.

Related Posts