Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, bakal menerima kenaikan pakej gaji tahunan kepada S$3.6 juta (kira-kira RM11.6 juta) termasuk bonus, berbanding S$2.2 juta (kira-kira RM7.1 juta) ketika ini.
Peningkatan sebanyak S$1.4 juta (kira-kira RM4.5 juta) setahun itu bagaimanapun tidak akan dinikmati Wong sepenuhnya apabila beliau memutuskan untuk mendermakan keseluruhan jumlah kenaikan tersebut kepada badan kebajikan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam kenyataan di Parlimen pada Selasa, Wong berkata keputusan itu dibuat susulan penerimaan kerajaan terhadap syor Jawatankuasa Bebas Kajian Gaji Pemegang Jawatan Politik dan Ahli Parlimen 2026.
Kerangka gaji baharu itu akan mula berkuat kuasa pada 15 Oktober 2026, selepas kerajaan menerima cadangan jawatankuasa berkenaan yang dilantik pada Disember tahun lalu.
Salur pada badan kebajikan
Menurut Wong, kerajaan akan terus membayar gaji beliau mengikut kerangka yang ditetapkan, sebelum beliau menyalurkan jumlah peningkatan itu kepada tujuan kebajikan.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah atas inisiatif peribadinya dan tidak bermaksud pemegang jawatan politik lain perlu melakukan perkara sama.
Dalam pada itu, gaji menteri di peringkat MR4, iaitu gred terendah, akan menerima pelarasan sekali sahaja sehingga sembilan peratus, menjadikan jumlah rujukan sekitar S$1.2 juta setahun. Pelarasan sebenar bergantung kepada prestasi dan keadaan setiap pemegang jawatan.
Baca juga:
- PM Singapura akan dermakan kenaikan gaji RM4.5 juta kepada badan kebajikan
- Pelanggan terkejut jumpa anak tikus hidup dalam hidangan mi daging lembu
- Baru hari pertama sekolah, kanak-kanak Palestin terbunuh bersama bapa
Kekalkan kualiti kepimpinan negara
Kerajaan Singapura mempertahankan kerangka gaji tersebut dengan alasan ia penting untuk memastikan negara mampu menarik individu berkaliber tinggi untuk menyertai perkhidmatan politik serta mengekalkan kualiti kepimpinan negara.
Sistem berkenaan turut menggunakan pendapatan golongan 1,000 individu berpendapatan tertinggi di Singapura sebagai salah satu penanda aras dalam menentukan gaji politik. Kerajaan sebelum ini menjelaskan bahawa gaji kompetitif diperlukan bagi mengurangkan risiko rasuah dan memastikan individu berkemampuan tidak terhalang daripada memasuki politik.
Kenaikan itu bagaimanapun dijangka terus menjadi perhatian awam kerana gaji politik Singapura sememangnya antara yang tertinggi di dunia. Reuters melaporkan Wong akan kekal sebagai pemimpin politik dengan bayaran tertinggi di dunia selepas pelarasan tersebut.
Wong mengakui isu gaji politik merupakan perkara yang sensitif, namun berkata kerajaan tidak boleh mengelak daripada membuat pelarasan hanya kerana ia sukar dari sudut politik. Beliau menegaskan perkara itu akhirnya berkaitan dengan keupayaan Singapura mendapatkan kepimpinan politik yang berkualiti untuk mentadbir negara dan berkhidmat kepada rakyat.
Sumber: Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO), Public Service Division (PSD),Reuters









