Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah pesawat milik Air Busan yang bersiap sedia untuk berlepas ke Hong Kong terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Korea Selatan pada Selasa malam, dengan laporan awal mendakwa kebakaran berpunca daripada power bank yang disimpan dalam ruang bagasi atas.
Seramai 169 penumpang bersama tujuh kru penerbangan berjaya dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan.

Pada awalnya, hanya tiga individu dilaporkan cedera, namun angka itu meningkat kepada tujuh keesokan harinya, menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan. Salah seorang mangsa masih menerima rawatan di hospital.
Kebakaran berlaku sekitar jam 10.15 malam di dalam pesawat jenis Airbus A321 milik syarikat penerbangan tambang rendah itu. Walaupun hampir separuh daripada badan pesawat musnah akibat api, sayap dan enjinnya dilaporkan tidak mengalami kerosakan.


Gambar yang tular di media tempatan menunjukkan pesawat berkenaan diselubungi asap tebal dengan api marak dari bahagian dalam kabin. Pasukan bomba segera dikerahkan untuk memadamkan kebakaran, manakala pihak berkuasa terus menyiasat punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, pakar memberi peringatan kepada penumpang agar memastikan power bank dalam keadaan baik dan berasal daripada jenama dipercayai sebelum dibawa ke dalam pesawat bagi mengelakkan insiden serupa berulang. – Agensi








