Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelantikan Muhammad Faris bin Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah serta bercanggah dengan aturan adat, menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong.
Kenyataan itu menegaskan bahawa individu yang mengesahkan pelantikan tersebut, termasuk Orang Kaya Datuk Laksamana Shaharumzaman Abdul Malek, tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam urusan adat selepas dipecat pada 20 Mac 2026. Surat pemecatan beliau dilaporkan telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 30 Mac lalu.
Turut dipersoalkan ialah penglibatan Zainol Ariffin Ibrahim yang dinamakan sebagai pengesah pelantikan berkenaan. Menurut kenyataan sama, beliau juga telah dipecat lebih awal iaitu pada 28 November 2024.
Dalam masa sama, kewujudan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong yang mengeluarkan kenyataan terdahulu turut dipertikaikan. Pihak terbabit menjelaskan bahawa majlis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong dan penubuhannya tidak mendapat pengesahan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Datuk Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah ketika ini ialah Sazali Mohamed Yasin, yang dilantik pada 1 April 2025 dengan pengesahan rasmi bertarikh 11 April 2025.
Baca juga:
- Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong didakwa tidak sah
- Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan
- Wanita warga emas maut dipercayai ditetak
Menurut mereka, pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir, selain sokongan semua Datuk-Datuk Lembaga Adat serta pengisytiharan oleh Datuk Shahbandar. Bagaimanapun, proses tersebut didakwa tidak dipenuhi dalam pelantikan Muhammad Faris.
Selain itu, kenyataan turut menyentuh mengenai Telaga Undang yang didakwa tidak lagi sah digunakan sebagai rujukan selepas ditutup sejak 28 November 2024, dan sebarang kenyataan yang dikeluarkan dari lokasi tersebut dianggap tidak sah.
Terdahulu, Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong memaklumkan Muhammad Faris Johari telah dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 menerusi Istiadat Kerapatan di Telaga Undang yang berlangsung pada 22 April lalu.
Pelantikan itu diputuskan secara muafakat (konsensus) oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-waris Klana Hulu, berasaskan amalan adat teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba.









